Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menetapkan 18 Mei sebagai
pengurusan kes permohonan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk
mengetepikan perintah penghakiman ingkar terhadapnya dalam kes saman fitnah RM2
juta oleh bekas calon PKR Dun Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Mohamad
Nasrudin Mohamed menetapkan tarikh berkenaan berikutan permohonan Abdul Hadi
untuk mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu itu.
Mohd Shamsul dan Abdul Hadi tidak hadir di mahkamah hari ini
dan masing-masing diwakili peguam A. Vasudevan dan Asmuni Awi.
Permohonan pada hari ini untuk mengenepikan perintah
mahkamah tetapi tarikh 18 Mei ditetapkan untuk pengurusan kes sebelum tarikh
perbicaraan ditetapkan di hadapan hakim, kata Vasudevan ketika ditemui
pemberita.
Pada 23 Februari lepas Abdul Hadi diperintahkan oleh
Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas
gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab atau memfailkan pembelaan terhadap
saman yang dikemukakan oleh Shamsul pada 5 Disember tahun lalu.
Mohd Shamsul mengambil tindakan itu selepas Abdul Hadi
mengeluarkan kenyataan bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang
pilihan raya umum lepas sebagai alasan untuk Pas meletakkan calonnya bertanding
di Dun Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.
Dalam pernyataan tuntutannya Mohd Shamsul mendakwa ucapan
Abdul Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April
2013 telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya
sebagai calon dan ahli perniagaan.
No comments:
Post a Comment