Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani sekali lagi didesak
dilucutkan jawatan dan disingkirkan daripada kalangan bangsa Melayu
berikutan serangan secara terbukanya terhadap akhbar Utusan Malaysia
yang didakwa sebagai rasis baru-baru ini.
Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr.
Kamarudin Kachar berkata, hukuman itu dilihat cukup setimpal buat
individu lupa daratan dan buta sejarah seperti Azran sekali gus mampu
menghalang komuniti Melayu daripada termakan kata-kata hasutannya.
“Sekiranya terus berada di situ saya khuatir tindakan Azran mampu
mengikis semangat nasionalis dalam diri lebih ramai orang Melayu yang
bekerja di syarikat penerbangan tersebut.
“Sebagaimana dia meluat dengan Utusan Malaysia, begitulah juga meluatnya
orang Melayu dengan belang ahli korporat baharu itu. Kita tidak
perlukan sebarang penjelasan daripada dia kerana kita hanya mahu dia
berundur serta-merta," tegasnya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas desakan beberapa NGO yang mahu Azran meletak jawatan
berikutan kelantangannya mencemuh akhbar Utusan Malaysia sebagai rasis
kerana menyiarkan artikel di muka hadapan bertajuk ‘Apa lagi Cina mahu’
pada 7 Mei lalu.
Azran secara terbuka menerusi akaun Twitter serta Facebook miliknya
menulis: I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan‘s
editorial stance. (Saya rakyat Malaysia. Saya anti-perkauman. Saya
meluat dengan pendirian pengarang Utusan)."
Dalam akaun Twitter pula, beliau turut menyatakan pihaknya menarik balik iklan Air Asia di Utusan Malaysia.
Sementara itu, Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd.
Hilmi Ismail kesal dengan tindakan Azran yang bukan sahaja memberi impak
negatif kepada generasi muda sekali gus menggagalkan agenda utama
menyatupadukan komuniti itu.
“Azran sendiri merupakan produk daripada perjuangan orang Melayu dahulu
berdasarkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan, tetapi dia tidak
sedar semua itu kerana nikmat tersebut hanya dirasai oleh ibu bapa dan
nenek moyangnya.
“Walau pun dia tidak memerlukan sebarang bentuk bantuan kerajaan, tetapi
jangan sewenang-wenangnya mempertikaikan peranan akhbar Utusan Malaysia
sebagai nadi perjuangan memartabat maruah orang Melayu Islam," katanya -
Utusan
No comments:
Post a Comment