Followers

MAKLUMAT TERKINI TANAHAIR

Thursday 23 August 2012

Zulkifli Sesat Pertikai Perlaksanaan Hudud?

Seminggu dua kebelakangan ini isu Hudud bergema semula, sekaligus menggegarkan kembali arena politik negara dimasa yang sama ramailah yang akan tampil bersama hujah masing-masing bagi pihak kelompok yang disokong.

Sekitar tahun 1990 hinggalah pilihanraya umum tahun 1999 dulu, isu Hudud juga pernah mencuri tumpuan umum walaupun kerapkali ia hanya panas semasa menjelang pilihanraya dan mulai sejuk selepas keputusan pilihanraya diketahui.

Semasa isu hudud hebat dimanipulasi oleh PAS untuk kepentingan politik kepartiannya, banyak fatwa politik bergentanyangan dari mulut mereka termasuklah menjatuhkan hukum kafir, anti Islam dan sesat terhadap penyokong dan pemimpin UMNO.

Segalanya dilakukan hanya kerana UMNO berpendapat belum tiba masanya untuk negara kita melaksanakan hukum hudud disebabkan halangan populasi penduduk, kekangan kedudukan ekonomi ummah, liku-liku perundangan yang rumit serta suasana semasa yang belum mengizinkan perlaksanaannya.

Malah untuk menonjolkan kononnya PAS begitu serius memperjuangkan Hudud sebagai perundangan utama negara, PAS pernah secara tergesa-gesa membentangkan Draf Hudud di DUN Kelantan dan Terengganu walau hakikatnya dari segi persediaan praktikalnya satu bayang pun tidak kelihatan.

Lebih dari itu, PAS juga pernah mengwar-warkan konon hukum Hudud akan terlaksana serta merta sebaik ayam jantan belum habis berkokok tapi kemudiannya walau ayam jantan sudah beribu kali melaungkan kokokannya hingga kini draf hudud hanya kekal sebagai draf semata-mata.

Tapi semuanya itu masih tidak menghalang PAS untuk terus bersembang pasal Hudud dan memanipulasikan sebagai umpan politik bagi menandingi pengaruh UMNO dikalangan orang Islam malah strategi fatwa politik termasuk menududh UMNO telah sesat dan anti Islam terus digunapakai hingga sekarang.

Namun kini, apabila seorang pemimpin PAS yang datangnya dari kelompok pro Anwar Ibrahim dan dikenali sebagai puak Erdogan turut berkongsi pandangan sama dengan UMNO dalam isu perlaksanaan Hudud tentunya kita tertanya-tanya apakah hukum atau fatwa politik yang akan dihambur keluar oleh pemimpin PAS yang lain terhadap Dr Dzulkifli?

Dalam kenyataannya, Dr Dzulkifly Ahmad yang juga Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor secara terbuka menyatakan "sekarang bukan masa yang kondusif untuk hudud dilaksanakan kerana proses untuk merealisasikan undang-undang itu memerlukan perbincangan secara terbuka serta membabitkan banyak proses perundangan".

Tambah beliau lagi, "isu hudud kini semakin menjadi permainan politik. Dalam keadaan ini, jika ia tidak ditangani secara baik, banyak pihak akan terus tidak faham malah mungkin terkeliru mengenai hudud".

Membaca kenyataan beliau di atas yang disiarkan oleh Sinar Harian 23 Ogos 2012, jelas senada dengan alasan penangguhan perlaksanaan Hudud yang seringkali disebut oleh pemimpin UMNO, peliknya hingga sekarang tiada satupun komen balas atau kritikan keras yang menghentam Dr Dzulkifly.

Tapi bila sahaja UMNO yang menyebut sedemikian rupa bagi menjawab persoalan kenapa Hudud tidak dilaksanakan di Malaysia maka tidak semena-mena ramai pemimpin PAS akan segera memanipulasi ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis untuk menghalalkan hukuman kafir, sesat dan anti Islam yang ditujukan terhadap UMNO.

Entah apa respon rasmi PAS kelak, tapi rasanya fatwa politik mereka yang pernah menuduh UMNO telah sesat, kafir dan anti Islam masih boleh diguna pakai terhadap Dr. Dzulkifly kerana nadanya dalam isu Hudud mirip kepada alasan UMNO, tidak begitu?

Barangkali PAS hanya akan berdiam diri dari mengulas kenyataan Dzulkifly itu dan penyokongnya pula akan buat-buat tidak tahu, atau paling tidakpun mereka akan menganggapnya sebagai kenyataan peribadi sahaja, taktik biasa untuk mengelakkan jadi semakin terhimpit dan tersepit.

No comments:

Post a Comment