Followers

MAKLUMAT TERKINI TANAHAIR

Friday, 10 August 2012

Pemuda Pas Kelantan dakwa panel royalti hanya 'buang masa'


Abdul Latiff Abdul Rahman
Ketua Pemuda Pas Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman
KOTA BHARU - Dewan Pemuda Pas Negeri menggesa Kerajaan Pusat menyegerakan bayaran tuntunan royalti minyak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sekiranya benar-benar ikhlas mahu selesaikan isu tersebut dan bukannya dengan penubuhan jawatankuasa khas.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman menyifatkan penubuhan Jawatankuasa Bayaran Royalti hanyalah helah pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang ingin melengah-lengahkan bayaran kepada Kelantan.

Abdul Latif berkata, ditambah dengan tempoh enam bulan yang diberikan kepada jawatankuasa itu serta tambahan 80 hari setelah tamat jangka masa enam bulan tersebut sangat dilihat sebagai satu niat secara jelasnya untuk menangguhkan bayaran sehingga selepas PRU13.

"Jika Kerajaan Pusat masih berdolak-dalik, tidak mustahil Kelantan akan mendapat bayaran royalti minyak dengan kadar 20 peratus sebagaimana yang dijanjikan di dalam manifesto Pakatan Rakyat sekiranya dapat menawan Putrajaya di dalam pilihan raya umum akan datang," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Selepas meneliti cadangan penubuhan jawatankuasa khas itu sebagaimana termaktub dalam surat yang dihantar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 2 Ogos lalu, Abdul Latif mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menolak penubuhannya.

"Kami mendapati penubuhan ini hanya membuang masa semata-mata, hal ini berasaskan kepada hakikat bahawa negeri-negeri seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak diberikan wang royalti tanpa melalui apa-apa jawatankuasa," katanya.

Abdul Latif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkebang, turut mengharapkan Kerajaan Kelantan berterusan menuntut pembayaran royalti minyak dengan kadar lima peratus sebagaimana yang dipersetujui di dalam Perjanjian Petroleum 1975.

Katanya, Dewan Pemuda Pas yakin Kerajaan Pusat sangat tertekan dengan isu tersebut sekalipun berkali-kali menafikan hak Kelantan untuk mendapat bayaran royalti minyak sehingga memaksa mereka mengemukakan penyelesaian yang tidak munasabah ini.

Kelmarin juga, Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (Royalti) menyerahkan memorandum kepada Nik Aziz supaya menolak jawatankuasa tersebut.

sumber

No comments:

Post a Comment