Followers

MAKLUMAT TERKINI TANAHAIR

Tuesday 22 May 2012

Muzakarah tak perlu syarat

MOHD FIRDAUS YON
20 Mei 2012
Abdul Halim (kiri) turut sama melakukan kerja baik pulih rumah Jufri.
Abdul Halim (kiri) turut sama melakukan kerja baik pulih rumah Jufri.
JOHOR BAHRU - Tindakan Pas meletakkan syarat ketat bagi Umno untuk bermuzakarah menunjukkan parti komponen pakatan pembangkang tidak ikhlas dalam membincangkan agenda Ummah, Melayu dan Islam.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, syarat yang diletakkan Pas membuktikan wujudnya unsur politik berbanding usaha memartabatkan agama, bangsa dan negara.

“Pertemuan dua parti terbesar negara, Pas dan Umno menerusi muzakarah untuk berbincang mengenai hala tuju Melayu dan Islam bukan satu perkara baru.

“Jika mereka (Pas) benar-benar mahu berbincang mengenai agenda ummah, agama dan bangsa, tidak perlu ada syarat kerana ia hanya menunjukkan mereka tidak ikhlas untuk bermuzakarah,” katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai Muzakarah Pas Umno yang dijangka direalisasikan dalam masa terdekat.

Beliau ditemui ketika mengadakan lawatan turun padang sempena program kemasyarakatan Johor Corporation (JCorp) di Kampung Baru Seri Aman, di sini, semalam

Pada program berkenaan, JCorp menerusi Tabung Tijarah Ramadan menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada keluarga Jufri Idris, 82, bagi membolehkan kerja baikpulih rumah yang kian uzur dimamah usia dapat dilaksanakan segera.

Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa berkata, kedua-dua parti itu perlu saling berbaik dan memaafkan antara satu sama lain jika mahu bermuzakarah.

Sementara itu, dalam isu berlainan, Abdul Halim berkata, Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez dinasihatkan supaya menukar kerakyatan jika sudah tidak memiliki patriotisme daripada terus mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan imej baik Malaysia.

Menurutnya, selaku warganegara ini, Irene tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang boleh memberikan kesan negatif kepada tanah air.

“Isu yang dibangkitkan oleh Irene seakan mahu memburukkan negara di mata negara luar sedangkan kepimpinan kerajaan sudah mentadbir Malaysia dengan cukup baik dan ia berbeza dengan apa dinyatakan olehnya.

“Jika berlaku sesuatu penganiayaan atau dera melibatkan pekerja asing, ia adalah masalah majikan dan bukannya kerajaan atau negara. Malah peratusan kes ini adalah kecil.

“Sebagai rakyat Malaysia, dia tidak patut mengeluarkan kenyataan berkenaan. Seharusnya dia menggunakan saluran yang betul. Jika dia tidak suka Malaysia, tukar warganegara dan dapatkan status pemastautin tetap (PR) dari negara lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Halim turut menyelar kenyataan Pengerusi bersama Bersih, Tan Sri A Samad Said yang tidak menolak kemungkinan penganjuran Bersih 4.0 diadakan jika rakyat terus menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Menurutnya, himpunan Bersih 4.0 tidak wajar dianjurkan berikutan kegagalan Bersih 3.0 pada bulan lalu yang disifatkan jauh menyimpang dari tujuan asal, sebaliknya menimbulkan huru hara kepada negara.

“Jika mereka mahu anjurkan, boleh dan tiada masalah. Tetapi biarlah ia di dalam stadium. Ini tidak, mereka mencabar kerajaan dan pihak berkuasa selain menimbulkan huru hara. Jika benar mahu menuntut tuntutan mereka, tampil ke depan dan ‘jangan baling batu sorok tangan’,” katanya.

SUMBER

No comments:

Post a Comment