Followers

MAKLUMAT TERKINI TANAHAIR

Wednesday 11 December 2013

Mat Sabu Perlu Saman Ahli Pas Berbanding Zahid Hamid !!!!



Pendedahan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid mengenai isu Syiah yang melibatkan parti politik tertentu, telah menyebabkan segelintir mereka yang dikaitkan dengan fahaman sesat itu seperti cacing yang kepanasan.

Ekoran pendedahan tersebut, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata dia sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Zahid yang mendakwanya mengamalkan ajaran Syiah. Dia yang terkenal dengan panggilan manja ‘Mat Sabu atau Abang Mat’ itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menyifatkan Zahid cuba membuat tuduhan jahat.

“Saya tak dengar sendiri apa dia kata jadi kena bincang dengan peguam dulu... Saya Ahli Sunnah Wal Jama'ah, seorang Islam yang mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jama'ah," katanya lagi.

Terdahulu, ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2013, Zahid mendedahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai maklumat dan bukti berhubung kewujudan pemimpin Pas yang menyokong gerakan Syiah.

Malah Zahid turut menuntut keberanian serta komitmen politik daripada Pas agar menolak pemimpin terbabit malah turut melahirkan rasa hairan, bagaimana pengamal ajaran Syiah boleh diangkat sebagai pemimpin tertinggi parti itu.

Paling menarik apabila Pas, seolah-olah cuba ‘cuci tangan’ bagi mengelakkan isu Mat Sabu itu dikaitkan secara langsung dengan parti itu. Menurut Setiausaha Agung parti itu Mustafa Ali, dakwaan terhadap Mat Sabu adalah merupakan serangan peribadi dan tidak ada kena mengena dengan parti.

"Itu adalah serangan peribadi, Mat Sabu perlu buat sesuatu. "Kita tak akan masuk campur” katanya

Namun, apa yang menghairankan ialah, apabila diteliti ucapan yang disampaikan oleh Zahid itu, beliau langsung tidak menyentuh atau menyebut nama, mana-mana individu yang dikaitkan dengan fahaman Syiah itu. Yang menyebut nama Mat Sabu secara khusus adalah Mustafa Ali sendiri. Apakah ini bermaksud Pas memang telah lama menghidu dan mengetahui penglibatan Mat Sabu dengan Syiah?

Malah sekiranya dilihat daripada kenyataan Mat Sabu ketika kempen sebelum Muktamar Pas baru-baru ini, dia turut mengakui ‘diserang’ oleh ahli dan pengikut dengan cara yang paling kotor.

''Sepanjang 35 tahun saya berada dalam Pas iaitu sejak 1978, inilah kempen paling teruk pernah saya lihat.''

Ketika sesi wawancara bersama salah sebuah portal pembangkang sebelum ini, Mat Sabu menjelaskan pelbagai kempen ‘kotor’ telah dijalankan oleh ahli Pas termasuk dengan cara menyerang dan melabelkan pihak yang tidak dipersetujui dengan menjadikan Facebook, SMS dan blog sebagai medan utama.

''Untuk menjatuhkan seseorang pemimpin Pas, pelbagai label diberikan. Paling popular ialah Syiah dan yang kedua liberal,'' katanya.

Ini bermaksud, ahli dan penyokong Pas telah terlebih dahulu melabelkan Mat Sabu sebagai pemimpin berfahaman Syiah dan bukannya Umno. Patutlah Mustafa Ali siang-siang dah buat kenyataan cuci tangan, dan terus mengaitkan Mat Sabu dengan pendedahan Zahid itu.

Oleh itu sekiranya benar Mat Sabu ingin mengambil tindakan undang-undang, ada baiknya ia dilakukan terhadap ‘musuh-musuhnya’ di dalam Pas terlebih dahulu. Zahid ketika diminta mengulas lanjut mengenai isu ini berkata pihaknya mempunyai bukti bagi menyokong pendedahan yang dilakukan sebelum ini.

"Kementerian Dalam Negeri mempunyai semua bukti pembabitan pemimpin tertinggi Pas dalam gerakan Syiah dan menyedari fahaman ini jika tidak ditangani memberi ancaman kepada keselamatan negara. Lebih bahaya kerana Syiah sudah merebak ke dalam parti politik seperti Pas sedangkan Islam di Malaysia bertunjangkan Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Malah beliau turut menegaskan akan mengadakan satu sidang akhbar khas untuk menunjukkan bukti tersebut. Katanya, sidang akhbar itu akan menunjukkan pelbagai bukti termasuk bahan bergambar yang dapat membuktikan pemimpin pembangkang itu sebagai pengikut Syiah.

Kepada Mat Sabu, apa kata tunggu sidang akhbar tersebut sebelum meloncat tidak tentu fasal. Atau Mat Sabu sememangnya sedar, tembelang dan pendekatan ‘taqiyyah’ (berpura-pura) telah mula terbongkar dan tidak mampu untuk diselindungkan lagi.

No comments:

Post a Comment