Followers

MAKLUMAT TERKINI TANAHAIR

Thursday, 28 February 2013

Masa Untuk Orang Cina Beralih Kepada BN

Tsunami politik yang melanda negara semasa PRU 12 2008 memang diakui besar impaknya sehingga mengakibatkan Barisan Nasional (BN) buat pertama kalinya hilang serentak penguasaan di lima buah negeri - Perak, Selangor, Kelantan, Kedah dan Selangor.

Serentak dengan itu juga BN kehilangan majoriti dua pertiga manakala undi popular yang menyebelahi BN hanya kira-kira 51% sahaja dari keseluruhan jumlah pengundi yang keluar mengundi.

Disingkap kembali keadaan serba mengejutkan tika itu memang menyebabkan ramai pemimpin BN terbeliak biji mata sukar mempercayainya. Kiranya SPR selaku pengendali pilihanraya benar-benar bias menyebelahi BN sebagaimana tohmahan oleh pemimpin PR, tentunya keadaan sedemikian tidak berlaku.

Mujurlah di sebalik kejutan tsunami itu tidak menyebabkan pemimpin BN patah semangat, masing-masing cuba berlapang dada bermuhasabah diri dan ternyata langkah itu tepat dalam membantu BN membuat anjakan paradigma.

Kini senario telah banyak berubah terutama sekali semenjak peralihan kepimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Dato' Seri Najib Tun Razak. Satu demi satu transformasi dilakukan manakala segala kelemahan lalu diperbaiki dan diperbetulkan.

Lantaran itu, tidak menghairankan apabila ramai penganalisis politik serta ekonomi dalam dan luar negara menjangkakan PRU 13 kelak sudah pasti menjadi milik BN termasuklah mempunyai peluang cerah untuk BN menguasai kembali negeri-negeri yang kini dijajah oleh PR.

Biduk sudah berlalu, kiambang bertaut semula apabila trend mutakhir ini jelas menunjukkan majoriti pengundi orang Melayu Islam dan India sudah kembali mendukung perjuangan BN. Demikian halnya dengan kaum Bumiputera Bukan Melayu sama ada di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak juga semakin solid bersama BN.

Mereka sedar, undi protes yang dilakukan semasa PRU 12 dulu yang membolehkan PR memerintah di beberapa negeri jelas sekali tidak layak dijadikan contoh ikutan. Lebih banyak mudarat berbanding manfaat.

PAS yang menjadi harapan PR untuk meraih sebanyak mungkin undi Melayu Islam kini semakin kehilangan sokongan. PKR pula hanya didukung segelitir sahaja pengundi Melayu Islam manakala masyarakat India juga semakin menjauhkan diri dari parti kroni anak beranak itu.

Angan-angan PR untuk memegang tampuk pemerintahan negara dan menambah koleksi pemerintahan di negeri lain semakin kelam. Semakin jauh panggang dari api.

Persoalan sekarang ke arah mana haluan pengundi Cina menjelang PRU 13 nanti? Adakah mereka akan beralih semula kepada BN seperti mana rakan-rakan lain dari kalangan masyarakat Melayu dan India yang majoritinya sudah nekad mengundi BN?

Dilihat dari perkembangan terkini memang sudah wujud sedikit sebanyak peralihan sokongan pengundi Cina dari PR kepada BN, namun masih dilihat belum cukup besar. Barangkali sebahagian besar yang lain masih teruja dengan janji manis PR, ada kemungkinan.

Atau mungkinkah para pengundi keturunan Cina sudah nekad untuk mengiakan segala propaganda PR bahawa masyarakat Cina akan terus utuh dengan pendirian untuk cuba merealisasikan hasrat PR menjajah Putrajaya? Malang sekali jika benar demikian.

Menurut kajian badan pemikir Asian Strategy and Leadership Institute (ASLI), jika pengundi Cina solid menyokong PR maka senario selepas PRU 13 ialah Kerajaan Pusat dikuasai sepenuhnya orang Melayu, India & Bumiputera lain, manakala DAP yang disokong pengundi Cina kekal sebagai pembangkang.

Jika senario itu menjadi realiti, masyarakat Cina diambang kerugian kerana wakilnya dalam Kerajaan Pusat pimpinan BN kelak semakin mengecil. Bila itu berlaku, siapa yang mahu dipersalahkan?

Justeru itu, para pengundi dari kalangan masyarakat Cina perlu berfikir sedalam-dalamnya kerana waktu sudah semakin suntuk. Kini masanya untuk mereka beramai-ramai beralih arah dengan kembali menyokong BN yang tentunya memberi manfaat untuk kebaikan bersama.

No comments:

Post a Comment