Followers

MAKLUMAT TERKINI TANAHAIR

Wednesday, 2 January 2013

ISU KALIMAH ALLAH: PAKATAN RAKYAT BAKAL BERPECAH

Mahaguru fahaman pluralisme di Malaysia, Anwar Ibrahim amat gelisah apabila Pas membangkang gesaan Dap berhubung isu penggunaan kalimah ALLAH oleh penganut Kristian di dalam Al Kitab (Injil).

Justeru, tidak mahu isu itu merebak kepada tahap menggugat kerjasama PKR, Dap dan Pas dalam Pakatan Rakyat, Anwar telah memanggil mesyuarat tergempar pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti untuk merungkai satu lagi krisis yang berpotensi meledak menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

Isu penggunaa kalimah ALLAH kembali menjadi panas apabila Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng menghidupkan balik isu itu dalam perutusannya menjelang  sambutan Hari Krismas pada 24 Disember lalu.

Dap menegaskan kerajaan perlu membenarkan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak, menggunakan kalimah ALLAH  di dalam Al Kitab iaitu versi bahasa Melayu kitab Injil.

Jika Dap benar-benar mahu menjadi jaguh kepada penggunaan kalimah ALLAH di kalangan penganut Kristian di Malaysia, mengapa isu ini diperjuangkan hanya sejak dua tahun lalu dan tidak dari masa parti itu ditubuhkan?

Mengapa ketua agama Kristian sedunia, Paus Benedict XVI tidak menggunakan kalimah ALLAH di dalam mana-mana ucapan atau penulisan gereja di negara-negara Barat?

Mengapa di Malaysia yang mana umat Islam adalah lebih 60 peratus daripada jumlah penduduk negara manakala penganut Kristian hanya mencecah 9.2 peratus sahaja, isu ini perlu digembar-gemburkan sehingga ke tahap mencabar Perlembagaan Negara?

Ini tidak lain tidak bukan kerana pembangkang mahu mempolitikkan isu yang sensitif ini untuk dilihat sebagai hero menjelang pilihan raya.

Ia juga menjadi sebahagian daripada agenda licik pembangkang terutamanya Dap untuk mencabar kedudukan Islam sebagai agama persekutuan serta melemahkan kedudukan umat Islam di negara ini.

Dengan menggunakan logik yang tidak masuk akal dan berselindung di sebalik jaminan kebebasan beragama di dalam Perlembagaan, pembangkang cuba mengeksploitasi ruang yang diberi bagi kepentingan politik mereka.

Pas, yang sekian lama dituduh sebagai keldai tunggangan Dap dan dipaksa tunduk kepada kemahuan parti cauvinis Cina itu dalam beberapa isu sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pendirian keras Dap.

Ketua Penerangan Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan medianya menegaskan bahawa penganut Kristian di negara ini tidak harus menggunakan kalimah ALLAH di dalam Al Kitab.

Ini kerana jika digunakan tanpa melihat keadaan sosio-politik dan latarbelakang Islam sebagai agama persekutuan di negara ini, ia menimbulkan  kekeliruan di kalangan kedua-dua penganut Islam dan Kristian.

Bayangkan tertera kalimah ALLAH pada papan tanda gereja yang sudah tentunya akan menimbulkan kemarahan umat Islam apatah lagi mengelirukan umat Islam khususnya golongan belia dan remaja yang masih belum mantap pemahaman agama mereka.

Dap hanya memikirkan kepentingan segolongan kecil penganut satu agama sahaja tetapi kerajaan harus menjaga kepentingan dan hak semua rakyat daripada pelbagai agama, bahasa, budaya dan bangsa.

Kali ini nampaknya Pas tidak akan berganjak dalam isu ang menyentuh sensitiviti dan kepentingan agama Islam dan sanggup bertarung dengan Dap untuk menegakkan pendapatnya.

Jika Pas berundur dan terus akur kepada tekanan Dap bermakna ia tidak layak mengaku sebagai parti yang memperjuangkan Islam dan lebih elok dibubarkan sahaja parti itu.

Kredibiliti pas akan terjejas teruk jika ia tidak mempertahankan kenyataan Tuan Ibrahim sebagai pendirian rasmi parti itu.

Mengalah dalam isu ini akan bererti Pas akan kehilangan bukan sahaja keyakinan ahli-ahlinya sebagai sebuah parti Islam tetapi juga undi pada pilihan raya nanti.

Sanggupkah Pas dilabel sebagai parti bacul yang berdegar-degar melaungkan mengenai Islam tetapi cabut lari apabila dicabar oleh Dap sedikit?

Sudah tentunya dalam polimik isu kalimah ALLAH ini, Anwar akan muncul sebagai hero yang akan menyokong kuat pendirian Dap dengan mengenepikan pendapat Pas.

Dap sejak 2008 menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam PRU13, namun Pas selama ini hanya berdiam diri dan pada muktamarnya baru-baru ini telah mencalonkan presidennya, Abdul hadi Awang.

Jadi tidak mungkin Anwar akan membiarkan sokongan kuat Dap kepadanya sebagai calon Perdana Menteri akan dibiarkan digugat oleh Pas.

Mesyuarat Pakatan Rakyat yang akan diadakan untuk membincangkan isu kalimah ALLAH akan mengeruhkan lagi hubungan Pas dan Dap yang sudah pun tegang sejak sekian lama.

Mereka adalah musuh politik tradisi dan tidak mungkin sepandai mana Anwar bersilat di gelanggang politik Pakatan Rakyat mampu menyelesaikan masalah yang mampu mencemar imej dan maruah Islam.

No comments:

Post a Comment