Followers

MAKLUMAT TERKINI TANAHAIR

Friday 7 December 2012

MB Gelabah Seksyen 7, Shah Alam Tak Ada Air

Setelah puas bersilat dan bertaichi konon masalah air di Selangor hanyalah mainan politik BN untuk melemahkan PR, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khalid Ibrahim akhirnya menepuk dahi apabila rumahnya mengalami gangguan bekalan air semalam.   Pada hari minggu yang lepas, beberapa kawasan di Selangor termasuk Petaling, Klang dan Seksyen 7 Shah alam iaitu di kawasan kediaman Khalid Ibrahim, telah tidak mendapat bekalan air. 

Kita harap tidak ada mana-mana pihak yang cuba bermain politik bodoh dengan menuduh UMNO sengaja memutuskan bekalan air ke rumah Khalid Ibrahim pula. 

Masalah ini adalah konsisten dengan kajian yang dilakukan oleh kerajaan pusat iaitu loji penapisan tidak lagi mampu menampung jumlah permintaan yang meningkat secara drastik di Selangor.   Walaupun ketika negeri ini mengalami hujan yang lebat setiap hari, kandungan air di loji tidak menunjukkan peningkatan malah mengalami kemerosotan.  Kini, setelah musim hujan mula reda, kandungan air semakin berkurangan dan sedikit sahaja peningkatan dalam penggunaan ternyata mampu menyebabkan kehabisan bekalan. 

Kini, segala apa yang dibimbangkan oleh kerajaan pusat telah pun menjadi nyata dan yang menjadi mangsa bukan sahaja rakyat tetapi juga Menteri Besar Selangor sendiri.  

Kerajaan PR menafikan penyelesaian yang diputuskan oleh kerajaan pusat melalui projek Langat 2 dengan memberi gambaran bahawa ianya bukan penyelesaian terbaik dan konon terdapat unsur-unsur tidak telus.   Walaupun telah diperjelaskan berkali-kali oleh beberapa pihak yang berpengalaman dan juga pakar-pakar tentang bagaimana keputusan penyelesaian ini dicapai, kerajaan PR Selangor tetap berdegil untuk menggunakan penyelesaian mereka sendiri. 

Mereka menolak mentah-mentah keputusan kerajaan pusat walaupun sedia maklum bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan kajian yang mendalam sejak beberapa lama serta oleh berbagai pihak. 

Amatlah malang bagi rakyat Selangor apabila dalam kedegilan itu, kerajaan negeri masih gagal menemui penyelesaian yang lebih baik dari Langat 2. Malah, teknologi membran yang dicadangkan juga kini terbukti tidak praktikal.  Kini, mereka cuba pula mengkaji cadangan-cadangan lain yang mana pasti mengambil masa kerana setiap cadangan akan memerlukan kajian yang mendalam juga. 

Akibatnya masa terbuang begitu saja tanpa apa-apa tindakan penyelesaian.  

Sedangkan, projek Langat 2, jika berjalan mengikut jadual tanpa halangan oleh kerajaan Selangor adalah dijangka siap pada Mei 2014.  Mengikut kajian awal negeri Selangor dijangka mengalami kekurangan bekalan air, kira-kira 299 juta liter sehari bermula tahun ini di mana kemuncaknya akan dirasai pada tahun 2015.   Melalui projek ini, air akan disalurkan ke Selangor dari Negeri Pahang.

Namun, apa yang dicadangkan oleh kerajaan PR Selangor setakat ini semuanya membabitkan pemrosesan air mentah dan bukannya menambahkan bekalan air yang menjadi punca masalah.  Ini menunjukkan yang mereka tidak peka akan masalah sebenar kerana terlalu ghairah berpolitik. 

Selain dari masalah air yang tidak cukup, loji baru juga amat diperlukan memandangkan keadaan loji sedia ada yang semakin buruk akibat terlalu lama dan sukar diselenggara tanpa menjejaskan bekalan kepada pengguna. 

Siapa sangka, dalam keghairahan PR untuk terus mempolitikkan isu air, Khalid Ibrahim sendiri terpaksa melalui keperitan hidup tanpa bekalan air.    Walaupun kesengsaraan yang dilaluinya mungkin tidak lama, namun sekurang-kurangnya beliau kini merasai akibat dari sikapnya yang berpolitik tanpa batasan. 

Tidak dapat dipastikan sama ada Khalid akan insaf dan mengakui kesilapan setelah berhadapan dengan hari yang sukar tanpa bekalan air.  Tetapi, kita tidak terkejut jika Khalid sanggup tidak mandi dan tidak bersuci semata-mata ingin terus bermain politik.

Jika benar, maka nampaknya, rakyat Selangor terpaksalah menunggu sehingga pemimpin-pemimpin PR Selangor sudah tidak tahan bau masing-masing akibat tak mandi pagi, sebelum akur bahawa penyelesaian yang diputuskan oleh BN adalah yang terbaik. 

Ini kerana, BN sentiasa memastikan dan memutuskan hanya yang terbaik untuk rakyat jelata.  Jika tidak, mana mungkin BN tetap menjadi pilihan rakyat sejak sekian lama?

No comments:

Post a Comment