Followers

MAKLUMAT TERKINI TANAHAIR

Tuesday, 26 February 2013

Ku Li PM Jika PR Menang


Anwar ditolak oleh Majlis Syura PAS bukan lagi merupakan desas-desus atau khabar angin yang digembar-gemburkan atas nama propaganda politik.   Hakikatnya, Majlis Syura PAS kini benar-benar tegas enggan menerima Anwar sebagai Perdana Menteri kerana diselubungi masalah moral, LGBT, liberalisme dan pluralisme.

Penolakan itu diketuai sendiri oleh Hadi Awang, Haron Din, Haron Taib, Tuan Ibrahim dan beberapa lagi nama-nama penting dalam Majlis Syura.

Nama Hadi Awang dan Ku Li kemudiannya diumumkan sebagai calon Perdana Menteri.  

Namun, Ku Li dilihat mempunyai lebih berpotensi kerana beliau mampu mengekalkan Kelantan, selain mempunyai imej yang lebih bersih dari Anwar.   Ku Li juga diterima baik oleh orang Melayu, malah dilihat mampu melonjakkan sokongan Melayu terhadap PAS yang sudah berada di tahap tepu.   Selain itu, Ku Li yang telah lama di dalam UMNO juga mempunyai imej lebih terbuka yang mana memudahkan penerimaan kaum bukan Melayu terhadapnya.

Atas faktor ini maka nama Hadi telah terpaksa dibelakangkan buat sementara waktu, terutamanya bagi mengelak sebarang masalah dengan DAP.

Strategi PAS ialah, Ku Li yang telah disahkan akan bertanding atas tiket UMNO di kawasan azalinya, Gua Musang, tidak akan dicabar, sebaliknya dibiarkan menang tanpa bertanding.   Setelah menang, Ku Li kemudiannya akan mengumumkan keluar UMNO dan berkempen untuk Pakatan Rakyat sebagai calon PM.  

Bagaimanapun, keputusan ini diambil oleh PAS secara sendirian, iaitu tanpa berbincang dengan PKR dan DAP kerana menganggap perbincangan mengenai calon PM dengan kedua-dua sekutu mereka itu sebagai sia-sia berdasarkan pengalaman di mana semua isu yang berbangkit, tidak akan sama sekali memihak kepada PAS.   Selama ini juga, keputusan meletakkan Anwar sebagai PM tidak pernah dibincangkan dan tidak pernah dipersetujui oleh PAS tetapi tetap dikira sebagai keputusan bersama atas dasar demokrasi 2-1.  

Nampaknya, PAS sudah mula bangkit dan tidak sanggup lagi dipijak-pijak oleh DAP dan PKR.  Majlis Syura melalui suara lantang Dato’ Haron Din, kini berusaha membuktikan bahawa mereka bukanlah sampah atau anjing kurap mahupun kuda tunggangan kepada sesiapa dan PAS tidak akan lagi bertolak ansur dalam isu-isu yang membabitkan Melayu dan Islam, terutamanya isu Kalimah Allah.    

Keputusan mengenai ‘Perdana Menteri PR’ ini disampaikan kepada Anwar dalam satu pertemuan yang dihadiri oleh Nik Aziz, Hadi Awang, Haron Din di pihak PAS serta Azmin, Saifuddin Nasution, Rahim Ghouse dan Anwar sendiri di pihak PKR.  Anwar dilaporkan begitu berang, tetapi terpaksa menahan kemarahannya apabila diberitakan bahawa beliau ditolak mentah-mentah sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat.

Anwar yang tidak dapat menerima penolakan tersebut telah menemui Haron Din secara peribadi di rumah.  Bagi mengelak desakan Anwar, Haron Din memberi alasan bahawa perlantikan Ku Li hanyalah bersifat transisi, iaitu sekadar untuk memastikan kemenangan dalam pilihanraya sebelum menyerahkan jawatan PM kepada Anwar.

Namun, pastinya Anwar lebih tahu apakah alasan itu logik atau tidak.

Keputusan yang diambil oleh Majlis Syura ini, bagaimanapun, masih bersifat ‘tergantung’.  Ini kerana pihak yang terlibat, iaitu Ku Li sendiri, belum lagi bersuara dan kalaupun beliau bersuara kita belum tahu lagi apakah ia suara hati atau suara politik.

Dengan DAP tidak dilibatkan dalam perbincangan yang membawa kepada keputusan ini, tentulah lebih sukar lagi bagi Majlis Syura untuk memastikan rancangan mereka berjaya.

Apa yang pasti, Anwar benar-benar berang dan kemarahan tersebut telah dihamburkannya tanpa sembunyi-sembunyi lagi di dalam mesyuarat PKR.  Dan pastinya, DAP lebih lagi berangnya kerana PAS jelas ‘tidak mendengar kata’.

Ini bukan kali pertama PAS membuat U-Turn ketika bersama Pakatan Rakyat.  PAS telah beberapa kali U-turn dalam isu hudud, begitu juga dengan isu-isu arak, judi dan lain-lain.  Isu Kalimah Allah ini juga belum pasti merupakan U-turn PAS yang terakhir.  Pada tahun 2010 PAS bersuara senada dengan DAP tetapi pada 2012, PAS bermain irama berlainan pula.

Oleh itu, selagi PAS masih berangan untuk ke Putrajaya dan menduduki kuasa, apakah jaminan yang parti itu tidak akan membuat U-turn sekali lagi dan turut menyertai koir DAP menyanyikan lagu Kalimah Allah di dalam Injil demi mencapai cita-citanya?

Jika Majlis Syura benar-benar ikhlas untuk kembali meletakkan agama mengatasi politik, maka ia adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan.  Tetapi, kita masih tidak faham bagaimana sekumpulan Ulama boleh menggunakan strategi yang licik, tidak ikhlas, malah khianat kepada rakan sekutu sendiri dalam usaha untuk berkuasa.  

Seharusnya, para Ulama membawa sikap tulus dalam berpolitik iaitu tanpa tipu helah atau muslihat serta menyatakan kebenaran secara konsisten, tidak kira sama ada sesama sendiri atau di depan rakan sekutu, di depan musuh atau di dalam media.

Lihat saja bagaimana para Ulama ini yang masih enggan mengambil risiko kehilangan peluang untuk menang PRU, maka mereka pun menghantar ‘bola’ ke kaki Ku Li.  Tetapi dihalang oleh Anwar dan DAP.  Justeru, apakah kesudahannya permainan para Ulama di dalam Majlis Syura ini?

Jelaslah bahawa PR sudah pun kehilangan arah sebelum Pilihanraya.  Justeru, bagaimana kita boleh mengharap kepada parti yang kehilangan arah ini, untuk membawa kita ke mana-mana?  

Penyokong PAS Terima BR1M Lebih Hina Dari Lembu Dan Ayam – Nik Aziz

Mengucap panjang kita mendengar ucapan Nik Aziz setibanya di Kota Bharu setelah menunaikan umrah di Mekah.   Ucapan Nik Aziz bukannya mengajak kepada perpaduan atau ke arah perdamaian tetapi berunsur celaan, sehingga tergamak menyamakan penerima BR1M dengan haiwan. 
Kata Nik Aziz, di hadapan penyokong yang menyambutnya pulang di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV,  “Orang yang menawarkan wang kepada orang, sama seperti kalau kita panggil ayam nak suruh ayam datang dekat, kita tabur hampas kelapa, tabur padi.  Kalau nak panggil lembu kita bubuh jerami.  Tapi kalau nak beri Islam, kita nak panggil ayam cakap nak ceramah, mana ayam datang, nak panggil lembu mana datang, jadi kalau kit aberi barang kepda orang, beri RM10, RM50 orang akan ambil.”
Hina sekali pandangan Tok Guru terhadap rakyat yang menerima BR1M sedangkan ramai dari penyokong-penyokong Tok Guru sendiri turut menerimanya dengan bangga.  Tidak cukup dengan itu, mereka mendabik dada pula kononnya itu hak mereka, sebagai rakyat dan duit yang diterima itu adalah duit rakyat. 
Entah dari mana datangnya alasan bahawa duit itu adalah hak mereka.   Apakah semua kerajaan di dunia ini memberi BR1M?  Tentulah tidak, kerana bukan tanggungjawab mana-mana kerajaan untuk  berbuat demikian. 
Sudah menjadi hukum alam, dan sudah termaktub dalam ajaran Islam, bahawa manusia perlu bekerja untuk mendapatkan wang.  Tiada siapa yang layak menerima apa-apa tanpa berusaha melainkan mereka sememangnya tidak punya kemampuan untuk berbuat demikian atas sebab-sebab tertentu seperti kesihatan, kecacatan dan sebagainya.   
Tugas kerajaan adalah untuk mentadbir, menjana pendapatan, membawa pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan, menyediakan kemudahan awam, memastikan rakyat mendapat pendidikan, memelihara kedaulatan negara serta memastikan keamanan.  
Menyediakan wang tunai ‘percuma’ kepada rakyat bukanlah tugas kerajaan. 
Tugas setiap seorang dari rakyat pula adalah untuk bekerja bagi menyara diri dan keluarga serta membayar cukai kepada kerajaan supaya kerajaan dapat terus menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang diperlukan oleh rakyat.  
Sudah menjadi lumrah dunia, ada rakyat yang berpelajaran tinggi dan ada yang tidak.  Ada yang miskin dan ada yang kaya.  Ada yang dulu susah, tetapi sekarang senang setelah kerajaan membawa masuk pelaburan dan mereka dapat bekerja di kilang-kilang.   Ada yang dulu hidup atas peruntukan rakyat termiskin, kini tinggal di rumah dua teres dua tingkat setelah anak-anak mereka menjadi orang berjaya berkat pembelajaran percuma di peringkat rendah dan menengah dan kemudiannya mendapat biasiswa pula untuk ke universiti.    Adajuga  yang dulu senang tetapi sekarang susah dan menganggur akibat membazirkan masa dan wang ibu bapa ketika di universiti kerana sibuk berdemonstrasi. 
Oleh itu, ada rakyat yang membayar cukai kepada kerajaan dan ramai lagi yang tidak. 
Kerana itu, kerajaan BN yang prihatin, telah mengambil kira keadaan hidup rakyat yang berbagai ini dan memutuskan untuk membantu mereka yang memerlukan, melalui BR1M.   Kerajaan boleh saja menggunakan peruntukan BR1M sejumlah RM3 billion itu untuk tujuan lain, tetapi dikhuatiri ia tidak akan dapat dirasai secara langsung oleh golongan yang benar-benar memerlukan.   Hanya dengan pemberian tunai sahaja yang dapat memastikan ia mencapai objektif secara tepat kerana dengan wang tunai, rakyat boleh memutuskan sendiri cara untuk membelanjakannya. 
Sudah tentu sekali BR1M tidak akan dapat diberikan jika kerajaan tidak mampu.   Jika kerajaan sekadar bergantung kepada cukai yang dikutip dari segolongan rakyat yang layak membayar cukai sahaja, tentulah kerajaan tidak akan mampu memberi BR1M kepada golongan yang tidak layak membayar cukai itu. 
Justeru, kemampuan kerajaan memberi BR1M kepada rakyat dengan sendirinya membuktikan  kecekapan pentadbiran Barisan Nasional dalam menjana pendapatan serta mengurus kewangan negara. 
Malangnya, Tok Guru melihat BR1M sebagai umpan atau rasuah untuk memancing undi serta menghina pula rakyat yang menerimanya.   Lebih malang lagi kerana antara yang menerima BR1M itu adalah penyokong-penyokong Tok Guru sendiri. 
Kerana itu, kita ingin bertanya Tok Guru, jika penerima BR1M adalah umpama lembu dan ayam, maka penyokong Tok Guru yang saban hari mengutuk BN tetapi tetap menadah tangan melahap BR1M, umpama apa pula? 
Fikirkanlah sendiri, binatang apa yang lebih hina dari lembu dan ayam…. 

Telenovela ‘Kalimah Allah’: Lakonan Majlis Syura–Karpal Singh Memualkan

Pakatan Rakyat masih belum dapat mencari titik penyelesaian dalam isu ‘Kalimah Allah’.   Media juga berselang seli menyiarkan kenyataan antara ahli-ahli Majlis Syura dengan Karpal Singh yang tidak habis-habis menempelak dan menghentam sesama sendiri.  
Majlis Syura menganggap isu tersebut selesai dengan membuat keputusan bahawa ‘Kalimah Allah’ tidak boleh digunakan di dalam Injil Kristian dan bahawa keputusan itu tertakluk kepada ahli-ahli PAS sahaja. 
Tetapi,  Karpal menafikan ianya selesai, selagi Majlis Syura tidak menyatakan secara jelas untuk membenarkan Kalimah Allah digunakan di dalam Injil serta menerima hakikat bahawa Majlis Syura tidak ada hak bersuara di dalam Pakatan Rakyat, melainkan di dalam PAS sahaja. 
Menganalisis perkembangan ini secara terperinci, kita akan mendapati bahawa isu ini sebenarnya telah lama selesai bagi Pakatan Rakyat.
Ini kerana Majlis Syura sendiri telah menegaskan bahawa keputusan majlis tersebut hanyalah tertakluk kepada ahli-ahli PAS sedangkan hakikatnya, tidak mungkin ada ahli PAS yang terlibat menterjemah atau mencetak Injil dalam bahasa Melayu untuk membolehkan mereka menggunakan Kalimah Allah di dalamnya. 
Di masa yang sama, Majlis Syura sebenarnya tidak menghalang, dan tiada hak untuk menghalang mana-mana ahli DAP atau sesiapa sahaja yang bukan ahli PAS untuk berbuat demikian sepertimana yang ditegaskan oleh Karpal Singh.  
Ertinya, kedua-dua pihak telah pun menemui titik persetujuan iaitu “Kalimah Allah boleh digunakan di dalam Injil, kecuali oleh ahli-ahli PAS”. 
Justeru, perbalahan antara Majlis Syura dan Karpal Singh di media hanyalah lakonan dengan skrip yang penuh dengan ayat tersirat.   Seperti juga isu Hudud, Isu Kalimah Allah ini juga adalah satu lagi Telenovela yang tiada penghujung bagi PR, walaupun secara dasarnya ia telah pun tamat dengan PAS akur kepada kehendak DAP. 
Bukan kita tidak tahu bahawa DAP perlu menunjukkan pada kaum bukan Melayu betapa mereka kuat, tegas dan mampu mengawal PAS dari membawa unsur-unsur Islam ke dalam pentadbiran PR.  Isu kalimah ini, bukan sahaja menjadi ‘tanda aras’ kepatuhan PAS kepada DAP, tetapi juga merupakan strategi serampang dua mata di mana ia turut memberi kelebihan kepada puak Kristian untuk memurtadkan umat Islam. 
Sedangkan PAS pula perlu menunjukkan pada umat Islam yang parti itu kekal tegas mempertahankan Islam dari dinodai oleh mana-mana pihak memandangkan imej ‘Islam’ parti itu sudah rosak teruk kerana kalah dengan UMNO dalam isu Amanat Hadi, kalah dengan DAP dalam isu Negara Islam, hudud, judi, arak, rumah urut, pusat hiburan dan juga salon serta tidak mampu menempelak PKR dalam isu pluralisme, liberalisme mahupun isu menyokong negara Israel. 
Telenovela Kalimah Allah ini, adalah talian hayat terakhir PAS untuk memperlihatkan yang parti itu masih se-‘Islam’ dulu.  Justeru, ia perlu terus ditayang untuk tontonan umum sekurang-kurangnya sehingga pilihanraya.  Skripnya juga akan berterusan di mana Karpal dan Majlis Syura saling berbalah dan bercakaran. 
Hakikatnya, jika benar perbalahan ini bukan hanya sebuah Telenovela, maka sudah tentulah PAS telah meninggalkan PR.  Bayangkan, sedangkan Nasharuddin Mat Isa juga sanggup PAS ‘ceraikan’, tetapi PAS tidak sanggup meninggalkan kerjasama yang membawa risiko kepada akidah umat Islam dan pencemaran kepada kesucian ‘Kalimah Allah’. 

Sunday, 24 February 2013

Waspada ancaman Arab Spring (Utusan)

ADA pihak yang cuba mengaitkan Arab Spring sebagai sesuatu yang mungkin berlaku dalam perkembangan politik di Malaysia. Mereka ingin membawa perubahan landskap politk tempatan unutk mencapai matlamat mengabil alih kuasa melalui apa yang dianggap sebagai kebangkitan rakyat terhadap kerajaan yang ada.
Tanda-tanda yang menunjukkan ada strategi menggunakan platform di luar proses pemilihan umum secara demokratik ini termasuklah :

* Kritikan dan tomahan yang berterusan ke atas kerajaan dan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mlalui himpunan Bersih
* Penganjuran rapat umum dan perarakan secara berterusan yang menguruk kerajaan
* Penentangan terhadap projek-projek yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan termasuk Lynas di Pahang dan Rapid di Johor atas alasan kesan negetif ke atas alam sekitar tanpa mengambil kira menafaat projek dari segi sosial dan ekonomi
* Kenyataan-kenyataan pemimpin pembangkang di media luar negara yang memburuk-burukan dasar kerajaan dan sistem pilihanraya.

Isu-isu seperti ini diketengahkan sebagai justifikasi bahawa Arab Spring perlu dilancarkan di Malaysia. Namun perlu diingat, kerajaan-kerajaan yang tumbang atau tergugat berikutan gerakan Arab Spring adalah kerajaan diktator yang telah menjadi dispensable bagi kuasa-kuasa barat setelah sekian lama menyumbang kepada dasar luar negara dan ketenteraan Barat.
Arab Spring tidak relevan di Malaysia kerana ia bukan negara pemerintahan kuku besi walaupun ada pihak yang mengatakan ia zalim, kafir, dan sebagainya.
Dakwaan kezaliman kerajaan yang disuarakan, sama ada dalam Parlimen, media massa atau internet hanyalah pandangan peribadi dan berdasarkan kepentingan politik sempit. kebebasan yang dialami oleh rakyat Malaysia adalah nyata kepada seluruh dunia.
Mereka yang cuba mengimport idea Arab Spring sebenarnya ketandusan dan kemuflisan idea. Apatah lagi geraka itu sendiri bukan sesuatu yang timbul dari bumi Arab tetapi sebenarnya diilhamkan oleh Barat, atau lebih tepat gerakan Neocons dan Zionisme antarabangsa yang tahu tentang kelemahan rejim Arab di Tunisia, Mesir, Libya, Yamen dan negara-negara Arab lain.
Kerajaan Malaysia mengamalkan dasar bebas dari pengaruh mana-mana ideologi atau kuasa besar. Tidak ada dokongan  yang diberi mana-mana pihak. Sebagai sebuah negara berkecuali Malaysia tidak terhutang budi kepada Barat mahupun institusi-institusi tajaan mereka seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan lain-lain.
Malaysia juga tidak mengharapkan bantuan kewangan atau ketenteraan daripada mana-mana pihak. Sebaliknya ia mengamalkan dasar terbuka bagi pelaburan lansung, perdagangan, pelancongan, pendidikan dan keharmonian
Jika ada pihak cuba mengaitkan Arab Spring sebagai satu gerakan kebangkitan Islam itu juga silap. Di Mesir, puak Islamist mungkin telah memenangi pilihan raya presiden tetapi golongan sekular dan bukan Islam yang disokong oleh Barat menentang langkah-langkah untuk menerap dan memperkasa unsur-unsur Islam dalam pemerintahan.
Di Tunisia, golongan pro-Islam menguasai kerajaan selepas rejim Ben Ali ditumbangkan. Pembunuhan tokoh pembangkang sekular Chokri Belaid baru-baru ini sungguh tidak menyenangkan barat kerana ia merupakan satu tamparan kepada agenda mereka. Mereka mahu golongan sekular dan pro-Barat berkuasa di Tunisia dan bukan golongan pro-Islam yang ada.
Hakikatnya, gerakan Arab Spring yang diilhamkan oleh Barat berhasil untuk memecahkan perpaduan yang ada di dunia Arab. Seterusnya ia memperkuatkan neara kesayangan mereka iaitu Israel yang selepas ini dijangka akan menunjukkan keganasan dan kezaliman lebih keras ke atas orang Arab amnya dan rakyat Palestin khasnya.
Arab Spring hanyalah alat dalam agenda BArat dan Zionisme untuk melemahkan dunia Arab dan Islam dalam peperangan Crusade moden. Rakyat Malaysia perlu menolaknya, bahkan menganggap ia adalah satu ancaman yang mesti dielakkan untuk megekalkan kestabilan politik dan keharmonian agama dan kaum di negara. 

Nurul Izzah Pasti Menang Lawan Utusan Malaysia

Pengurusan kes saman fitnah Nurul Izzah Anwar terhadap Utusan Malaysia telah ditetapkan pada 15 Mac 2013.  Saman tersebut adalah berhubung artikel berkaitan hak kebebasan beragama yang disiarkan oleh akhbar itu antara 5 – 7 November tahun lalu, yang didakwa Nurul Izzah sebagai memfitnah beliau. 

Sebenarnya, berita mengenai pembangkang menyaman akhbar bukanlah berita yang mengejutkan.  Malah, pembangkang sudah begitu terkenal sebagai tidak mengamalkan kebebasan bersuara.  Tindakan pembangkang yang gemar membakar akhbar, memboikot akhbar, menghalang pemberita dari membuat liputan, mengherdik pemberita apabila tidak dapat menjawab soalan, adalah antara bukti kukuh bahawa pembangkang mengamalkan prinsip tertutup, tidak bebas dan berat sebelah. 

Berbeza dengan Barisan Nasional yang lebih selesa membiarkan media bebas melaporkan apa saja mengenai parti dan pemimpin parti, walaupun ia merupakan fitnah, kerana parti ini percaya kepada kebebasan bersuara.  Apabila difitnah oleh media pembangkang, BN lebih suka memilih cara menjawab dan memberi penerangan kepada rakyat kerana yakin yang rakyat adalah jauh lebih bijak dan matang untuk menilai sesuatu berita. 

Sikap ‘tidak serupa bikin’ pembangkang bukan sahaja terserlah dalam isu kebebasan media atau kebebasan bersuara tetapi juga berkenaan sistem kehakiman negara.  Antara alasan utama bagi pembangkang menyeru rakyat untuk menolak BN ialah kononnya sistem kehakiman negara ini tidak adil dan tidak telus. 

Namun, masalah tersebut juga kini semakin lama semakin jelas, bukanlah berpunca dari BN tetapi pembangkang sendiri.  Mana tidaknya, jika pembangkang telah berkali-kali menang dalam menentang kerajaan mahkamah.  Malah, kes liwat 2 Anwar Ibrahim yang begitu jelas, konkrit dan sahih buktinya dalam bentuk DNA, CCTV di lif, keterangan saksi, kronologi peristiwa serta sejarah tertuduh juga telah dimenangi oleh Anwar, iaitu pihak pembangkang.  Kemenangan Anwar membuatkan penyokong-penyokong pembangkang sendiri terdiam seketika kerana tidak menyangka yang beliau boleh menang dengan bukti yang sebegitu kukuh terhadapnya. 

Anwar juga memenangi saman Utusan Malaysia mengenai temubualnya di BBC yang didakwanya sebagai berniat jahat.  Sedangkan Utusan hanya bertindak sebagai penyampai dengan melaporkan kata-kata Anwar sendiri, tanpa mengubah walau satu ayatpun kerana menyedari bahawa pembaca boleh mengakses sendiri wawancara Anwar itu yang dimuat-turun di Youtube untuk mengesahkan laporan mereka.  Utusan telah diperintahkan oleh Hakim VT Singham untuk membayar RM50,000 kepada Anwar.

Justeru, kita tidak hairan, malah yakin dan pasti bahawa Nurul Izzah juga akan memenangi kes samannya terhadap Utusan Malaysia.  Keyakinan ini adalah berdasarkan kebebasan mahkamah yang diragui berat sebelah kepada pembangkang, terutama apabila ia melibatkan hakim-hakim tertentu.  Dan nampaknya, hakim yang bakal mengendalikan kes Izzah juga adalah termasuk dalam senarai tersebut, iaitu Hakim VT Singham yang telah memenangkan Anwar dalam kes saman Utusan seperti yang disebut di atas. 

Hakim VT Singham, berusia hampir separuh abad tetapi entah kenapa masih masih bujang, telah sebenarnya banyak menimbulkan kontroversi, bukan sahaja dalam kes yang melibatkan pemimpin politik tetapi juga kes-kes jenayah.  Antaranya:   

1.Kes saman fitnah RM10 juta oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr. P. Ramasamy terhadap seorang wartawan The Star dan syarikat akhbar yang berakhir dengan saman tersebut ditarik balik.


2.Kes Bunuh seorang pemuda dimana Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk V T Singham, melepas dan membebaskan Azman Ismail, 25, atau `Man Datuk, anak bekas Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ismail Shahbodin dan empat rakannya daripada tuduhan membunuh seorang pelajar kejuruteraan mekanikal pada 2003 tanpa dipanggil membela diri.  Empat rakannya itu ialah Mohd Shafiq Azren Salleh, 24 (Boy TC); Mohd Hafiz Ibrahim, 23 (Tony); Mohd Faizal Radzali, 26 (Jambu) dan Mohamad Rizal Abu Hassan, 23 (Adik).

Mereka dituduh bersama seorang lagi yang masih bebas (Mohd Nizam Ariffin atau Tok Mat Crane) membelasah, menendang dan memijak Mohd Hosni Fadzli Mohd Amin, 21, di Ikhwan Auto, No 19, Hala Rapat Baru 20, Kawasan Perindustrian Ringan Kinta di Ipoh, antara jam 3 hingga 10 pagi, 22 Disember 2003, sehingga menyebabkan mangsa mati.


3.      Kes Menteri Dalam Negeri menyaman Anwar pada 26 April 2011  melalui Tetuan Zul Rafique & Partners kerana mendakwa Anwar telah mengeluarkan kata-kata fitnah itu semasa wawancara dengan media selepas membuat laporan polis pada 22 Mac lepas di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, dimana Hakim VT Singham juga menjadi hakimnya.  Dan seperti yang dijangka, Anwar telah menang mudah. 



Antara teori yang dikatakan mempengaruhi kecenderungan penghakiman VT Singham untuk memihak kepada pembangkang adalah kerana beliau menyokong aspirasi pembangkang yang terbuka terhadap LGBT.  Syak wasangka ini berkait rapat dengan hakikat yang beliau masih belum berkahwin walaupun sudah berusia dan berjaya, yang mana tentunya menjadi rebutan wanita. 



Berdasarkan teori ini, maka usahlah kita membuang masa mendengar hujah perbicaraan kes saman Nurul Izzah terhadap Utusan Malaysia, kerana jika hakimnya VT Singham, maka Nurul Izzah pasti menang.  

Hasil negeri gawat, Pas kian terdesak

TUNTUTAN RM100 juta oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kepada Kerajaan Pusat sebagai pampasan untuk menghentikan pembalakan ?cuci mangkuk? di kawasan tadahan hujan berdekatan Tasik Pedu, menunjukkan Pas Kedah cukup terdesak untuk meningkatkan hasil pendapatan negeri.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah menjadi Menteri Besar Johor selama sembilan tahun, menyifatkan kenyataan Azizan - yang menjadi menteri besar sejak 2008 - sebagai amat tidak logik dan tidak masuk akal, lebih-lebih lagi dari segi hubungan kerajaan negeri dengan Persekutuan.

Namun Pas Kedah tidak mempedulikan sama ada tindakannya disifatkan mengugut, tidak wajar atau pelik kerana perbuatan di luar kewarasan seperti merosakkan alam sekitar dan menggondolkan hutan yang terletak hanya 100 meter dari tasik sudah pun dilaksanakan walaupun tanpa laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Meskipun tuntutan itu membuktikan kewangan negeri tenat atau berisiko muflis namun sungguh melucukan apabila papan-papan tanda menyatakan pendapatan negeri mencecah hingga berbilion ringgit dipacak di merata tempat sebagai propaganda.

?Malah satu papan tanda besar dipacak di depan rumah ayah saya di Jalan Anak Bukit berdekatan lapangan terbang yang mengatakan pendapatan negeri mencapai berbilion ringgit, tetapi sebenarnya angka-angka yang dinyatakan adalah pencapaian kerajaan Barisan Nasional (BN) terutama dalam menarik pelaburan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP)," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Hakikatnya, hutang kerajaan negeri meningkat sebanyak 50 peratus apabila hutang awam dilaporkan berjumlah RM2.6 bilion setakat Disember 2011 dan hutang pembinaan kampus induk Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil pula sebanyak RM330 juta.

Kata Ketua Pemuda Gerakan negeri, Tan Keng Liang, hutang Kuin pula perlu mula dilangsaikan hujung tahun ini sebanyak RM49.2 juta setahun dan jumlah itu merupakan penambahan kepada bajet defisit RM1.1 bilion bagi 2013 berbanding anggaran hasil RM640 juta.

Kewangan negeri menjadi lebih tenat apabila sasaran hasil RM640 juta itu iaitu peningkatan RM105.6 juta daripada hasil premium tanah dan bayaran jualan air mentah kepada Pulau Pinang tidak menjadi kenyataan apabila negeri berkenaan telah menolak jualan sumber air itu.

Lebih menyedihkan ekonomi Kedah di bawah Pas seolah-olah tidak bergerak malahan kadar kemasukan pelaburan asing dalam tempoh empat tahun di bawah pentadbiran Pas hanya RM10 bilion. (Angka itu bermakna setahun antara RM2 hingga RM3 bilion sahaja).

Sedangkan, pentadbiran BN pada 2007 berjaya membawa RM14 bilion FDI hanya dalam satu tahun! - bayangkan perbezaan cukup ketara yang memberi manfaat kepada rakyat.

Pada Januari hingga Oktober 2012, kemasukan FDI dan pelaburan langsung domestik negeri (DDI) negeri terus merosot kepada hanya RM373.3 juta, menjadikan Kedah terjatuh dari tangga kelima pada 2007 ke tangga ke-11 ketika ini berbanding negeri lain.

Kerajaan negeri tiada idea baharu yang kreatif untuk melonjakkan hasil pendapatan negeri melainkan menebang balak dan menjual air hingga tidak menarik minat pelabur menanam modal dalam bidang industri, perkilangan dan pembuatan.

?Walaupun memiliki sedikit kelayakan dari segi akademik tetapi rata-rata pemimpin kerajaan negeri tiada pengalaman mentadbir untuk meningkatkan hasil," kata bekas Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS), Datuk Wira Dr. Mohd. Shariff Abu Samah yang juga pengkaji dan pakar dalam pentadbiran awam negeri.

Justeru, katanya, rakyat perlu membuat pilihan tepat memilih kerajaan negeri pada pilihan raya umum kelak bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri diteruskan untuk kesejahteraan rakyat sebagaimana dirancang oleh BN.

Ia termasuk mendapat nikmat daripada rancangan mewujudkan hab perindustrian baharu yang menyerupai Taman Perindustrian Tinggi Kulim (KHTP), Bandar Getah di Utara Kedah dengan kerjasama kerajaan Thailand yang menyediakan banyak peluang pekerjaan. Industri berkaitan bidang aeroangkasa dan pembinaan pusat pembangunan dan penyelidikan (R&D) syarikat-syarikat antarabangsa, sektor pembuatan dan perkilangan kluster, pertanian berteknologi tinggi juga akan dibangunkan di Changlon jika BN mentadbir.

Apa yang penting, isu pokok iaitu pokok balak dan alam sekitar tidak lagi berlarutan jika sumber kekayaan negeri berjaya dijana dan dipelbagaikan untuk meningkatkan hasil bumi jelapang padi ini.

PENULIS adalah Ketua Biro Kedah,

Utusan Malaysia.

DAP-PKR ‘Berbunuhan’ Di Johor

Akhir-akhir ini politik Malaysia semakin kerap dihiasi dengan kisah pertelingkahan antara parti-parti sekutu di dalam pakatan pembangkang akibat isu-isu semasa.  Antaranya, isu Kalimah Allah, jelas meretakkan hubungan PAS dengan DAP walaupun terdapat suara-suara di dalam PAS yang tidak mampu mengakui hakikat itu.  Isu yang sama juga menjauhkan lagi PAS dengan PKR kerana parti PKR jelas mempunyai pendirian yang sama dengan DAP.

Walaupun PAS pada hakikatnya, akur dengan kehendak PKR dan DAP tetapi ‘pertelingkahan mulut’ di media perlu diteruskan bagi memberi gambaran kepada penyokong PAS kononnya parti itu tidak akan mengalah.  Namun, ketidaksanggupan PAS untuk keluar dari Pakatan Rakyat dengan sendirinya menandakan PAS telah pun kalah dan akur kepada DAP dan PKR. 

DAP dan PKR pula secara umumnya tidak bermasalah dari segi isu-isu semasa.  Tetapi, perkembangan terbaru di Johor, telah membuktikan bahawa pendirian yang sama dalam isu semasa bukan jaminan yang kedua-dua parti itu tidak bertelagah. 

Pendek kata, secara dasarnya, Pakatan Rakyat kini telah retak seribu, dan hanya menanti belah dan hancur lebur sahaja sahaja.  

Masalah PKR dan DAP di Johor dikatakan berpunca dari Pengerusi PKR Johor, Datuk Dr. Chua Jui Meng.  Perkara ini dibangkitkan sendiri secara terbuka oleh Dr. Boo Cheng Hau, Pengerusi DAP negeri.   Semuanya kerana berebutkan kerusi pilihanraya di mana Chua dikatakan telah ‘membuat serangan hebat’ terhadap DAP Johor secara bawah tanah, sejak beberapa bulan lalu. 

Antara serangan yang dilakukan oleh Chua ialah menuduh DAP sebagai bongkak bagi menafikan beberapa kerusi kepada DAP sekali gus, mengelakkan penguasaan DAP di negeri itu.  Chua juga dituduh telah tidak menghormati sejarah persefahaman dan hubungan erat antara parti komponen dalam PR di Johor yang terjalin sejak dahulu dengan mengumumkan diri sendiri sebagai calon Gelang Patah sedangkan pembahagian kerusi belum pun muktamad. 

Alasan Chua bahawa beliau berhak berbuat demikian sebagai Pengerusi PKR Negeri memperlihatkan keangkuhan dirinya mengatasi DAP yang menjadi sasaran tuduhan bongkak. 

Dalam PRU-12, kawasan parlimen Gelang Patah dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN) Tan Ah Eng dengan menewaskan calon PKR Zaliha Binti Mustafa sebanyak 33,630.   Dalam pilihanraya kali ini, PKR dikatakan ingin bertanding semula di kawasan tersebut tetapi Timbalan Pengerusi DAP Tan Kok Wai telah mengumumkan untuk meletakkan calon DAP di situ.  Justeru, tindakan Chua mengumumkan diri sendiri menyebabkan keadaan menjadi tegang serta janggal. 

Hari ini Karpal Singh dilaporkan menegaskan bahawa DAP tidak mengambil ringan aduan Dr. Boo dan akan menyiasat perkara tersebut segera demi kepentingan PR.  Walaubagaimanapun, tiada kenyataan dari pihak PKR mengenai perkara yang sama. 

Oleh itu, Dr. Boo terpaksa ‘menyeru’ Ketua Pembangkang, iaitu Anwar Ibrahim atau Presiden PKR, Wan Azizah agar masuk campur dan memantau politik PR di Johor bagi memastikan perancangan menawan negeri tersebut berjalan lancar. 

Pelik sekali, apabila Anwar terpaksa ‘diseru’ untuk masuk campur, sedangkan dalam kebanyakan isu, Anwar akan masuk campur secara suka rela.  Malah, dalam pemilihan parti PKR juga Anwar bukan sahaja masuk campur tetapi ‘menggaul rata’ sebelum menapis dan membuang mana-mana yang dilihat ‘tidak begitu setia’ atau tidak memberi keuntungan kepadanya. 

Selain itu, bukanlah rahsia yang Anwar juga telah masuk campur dalam politik dalaman PAS melalui kuncu-kuncunya yang digelar parasit oleh mereka-mereka yang arif mengenai strateginya.  

Berdasarkan hakikat ini, mungkin Karpal, Dr. Boo dan DAP wajar memikirkan semula ‘seruan’ mereka agar Anwar atau isterinya masuk campur dalam pertelingkahan DAP-PKR di Johor. 

Adalah tidak mustahil bahawa usaha mengsabotaj DAP yang didakwa dilakukan oleh Chua Jui Meng adalah sebenarnya berpunca dari ‘campur tangan Anwar’? 

Sesungguhnya, amaran telah dikeluarkan kepada rakyat bahawa ‘perang’ di dalam PR adalah sesuatu yang pasti dan akan berterusan.  Ia bukan sahaja kerana ketiga-tiga parti membawa pendirian, sifat dan halatuju yang bertentangan, tetapi juga kerana karektor individu-individu yang menerajui parti-parti tersebut. 

Maka, senarionya kini dan selama-lamanya ialah, PKR akan terus menikam DAP di Johor, dan sembunyi tangan.  DAP akan terus menikam PAS di Pulau Pinang, dan sembunyi tangan juga.  PKR terus meracun PAS dari dalam dan DAP pula terus memijak PAS dari atas.   PAS pula sedang menghancurkan diri sendiri kerana terlalu sayang pada PKR dan DAP walaupun saban hari berendam air mata, disepak terajang dan diludah dan ditunjal kepala. 

Melihat bagaimana DAP-PKR-PAS ‘berbunuhan’ sesama sendiri, Pakatan Rakyat mungkin akan mati sendiri pada bila-bila masa sahaja, tanpa BN perlu melancarkan serangan.