TERBARU! ANWAR & AMBIGA AKAN DIHADAPKAN KE MAHKAMAH...
MUAR – Kerajaan tidak pernah takut untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S Ambiga kerana bertanggungjawab dalam penganjuran perhimpunan Bersih 3.0, Sabtu lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memandang serius insiden itu dan pastinya pihak yang bertanggungjawab tidak boleh terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Menurutnya, Kabinet telah mengarahkan pihak berkuasa iaitu polis dan Peguam Negara supaya proses siasatan dilakukan dengan segera untuk mengukuhkan bukti sebelum tuduhan dibuat terhadap pihak terlibat.
"Setakat ini, seorang sudah dikenakan tindakan dan yang lain itu, kita tunggu untuk mendapatkan bukti kukuh bagi memastikan sama ada mereka terlibat secara langsung ataupun tidak.
"Soal mengumpulkan maklumat dan bukti berkaitan laporan insiden yang berlaku perlu mengikut peraturan undang-undang,” kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Bola Sepak Berjaya Corporation, 7 Eleven dan Cosway Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Junid di sini, hari ini.
Beliau berkata, ia bukan tuduhan dan mungkin masyarakat akan menimbulkan persoalan mengapa tidak tangkap orang itu dan orang ini.Ini kerana katanya, dalam proses undang-undang perlu mempunyai bukti yang cukup sebelum sesuatu tindakan diambil.
"Dalam mesyuarat Kabinet semalam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat keputusan dan meminta agensi yang bertanggungjawab (penguatkuasaan) untuk mengambil tindakan secepat mungkin.
"Kita sedar kebimbangan masyarakat yang merasakan insiden ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan boleh berulang lagi,” katanya.Kata Muhyiddin, perhimpunan Bersih 3.0 lalu adalah insiden yang sangat mengaibkan negara kerana menyebabkan kerosakan harta benda, kecederaan pada anggota polis dan media yang bertugas membuat liputan.
"Insiden ini memberikan imej tidak baik kepada negara walaupun pihak penganjur beri jaminan perhimpunan akan berlangsung dalam keadaan aman dan selamat tetapi terbukti mereka gagal menunaikan janji.
"Kerajaan sudah putuskan tindakan yang bakal dikenakan terhadap mereka apabila bukti mencukupi dan berharap ia tidak mengambil masa yang terlalu lama,” katanya. - SH.
MiM : jangan tunggu lama-lama. Rakyat sudah muak dengan Anwar Dan Ambiga kerana mahu lepas tangan begitu sahaja.
No comments:
Post a Comment