108 penduduk dapat surat hak milik tapak kediaman
Tajuddin menyerahkan suratan hak milik kepada seorang penerima pada majlis berkenaan.
PASIR SALAK - Penantian penduduk Changkat Lada untuk mendapatkan surat hak milik tapak rumah berakhir apabila seramai 108 orang yang terlibat menerima dokumen itu dalam satu majlis penyampaian, di sini, semalam.

Pengerusi Felcra Malaysia, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, mereka yang menerima surat hak milik, sebelum ini, tinggal menumpang di rumah Felcra yang tidak didiami peserta.

“Pada asalnya rumah berkenaan dibina untuk menempatkan peserta felcra tetapi tidak didiami pemiliknya. Jadi golongan ini menumpang di rumah berkenaan. “Kita memahami masalah perumahan adalah satu perkara yang serius dan hasil daripada perbincangan, kita bersetuju menyerahkan rumah berkenaan kepada mereka yang terlibat setelah membayar premium sebanyak RM1,500,” katanya pada sidang media yang diadakan semalam

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad Datuk Juzilman Basir, Pengurus Felcra Wilayah Perak Mat Roni Zakaria, Pegawai Daerah Perak Tengah Roslan Mat Lodin, Adun Kampung Gajah Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin dan Ketua Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Kampung Gajah Shahrul Azam Shaari.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, pemberian surat hak milik itu diharapkan dapat membantu mereka mempunyai rumah sendiri.

Pada majlis berkenaan, Tajuddin turut menyampaikan 54 sijil pengesahan baik pulih rumah Program Bantuan Rumah (PBR) 2012, 18 kunci PBR 2011, 125 sijil PBR 2011, sembilan kunci PBR dari peruntukan khidmat social Felcra berhad dan dua sijil pengesahan pembiayaan bina baru PBR 2012.

Sementara itu, Tajuddin menyangkal dakwaan pihak pembangkang yang mengatakan usaha pemberian surat hak milik itu adalah usaha mereka.

“Saya menyangkal dakwaan ini kerana kita bekerjasama dengan pihak Pejabat Tanah untuk memastikan penduduk ini mendapat hak milik mereka. “Saya harap penerima hak milik ini jangan terpengaruh dengan dakwaan berkenaan kerana ia adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

sumber