Ekoran petunjuk terbaharu yang diperoleh kapal pertahanan
Australia, Ocean Shield dan kapal peronda China, Haixun 01 dalam operasi
mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 membawa ke arah penemuan yang lebih
kukuh semalam, 28 aset telah dikerah di selatan Lautan Hindi pada Selasa.
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dalam satu
kenyataan dilaporkan Bernama berkata aset membabitkan 11 pesawat tentera, tiga
pesawat awam dan 14 kapal.
Menurut kenyataan itu Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim
Australia (AMSA) mengarahkan pencarian hari ini meliputi kawasan seluas 77,580
kilometer persegi di kedudukan 2,268 km barat daya Perth.
“Cuaca sepanjang hari ini dijangka baik. Pencarian bawah
permukaan air diteruskan hari ini dengan ADV Ocean Shield melakukan operasi di
utara kawasan pencarian sementara Haixun 01 dan HMS Echo di bahagian selatan,”
kata JACC.
Semalam, kapal pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield
mengesan dua bunyi akustik detikan dalam pencariannya selepas mengesan isyarat
itu kali pertama pada Ahad, manakala kapal China Haixun 01 pula mengesan dua
isyarat pada Jumaat dan Sabtu.
No comments:
Post a Comment