- Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail
Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen berkata tindakan itu selaras dengan Peraturan-Peraturan Pemilihan parti yang telah ditetapkan.
"Mana-mana calon didapati bersalah oleh Tribunal Lembaga Disiplin akan dikenakan tindakan tegas dan dihukum di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan Umno," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan terdapat serangan peribadi oleh ahli Umno ketika mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian yang bermula 15 Julai lepas dan yang ingin bertanding jawatan Majlis Tertinggi.
Katanya ia amat dikesali kerana akan menyebabkan persaingan yang tidak sihat dan menimbulkan persepsi negatif pada pandangan ahli Umno di peringkat akar umbi.
"Sebagai contoh ramai calon yang ingin bertanding telah menggunakan media massa dan alternatif dalam memberikan komen negatif terhadap pesaing mereka dengan niat ingin menjatuhkan dan merendahkan reputasi pesaing.
"Ini adalah perkara yang dilarang sama sekali di bawah Perkara 5.3 Tataetika Ahli Umno," katanya.
Tengku Ahmad Rithauddeen berkata peranan Pemantau juga akan diambil kira dalam membantu Lembaga Disiplin memberikan laporan dan maklumat tentang pelanggaran peraturan-peraturan pemilihan ketika ini.
Beliau berkata ini bagi memastikan elemen politik wang dapat dibasmi dan dihapuskan sama sekali kerana ia gejala yang tidak sihat dan boleh menghancurkan parti sekiranya tidak dibendung. - Bernama
sumber
No comments:
Post a Comment