KUALA NERANG - Pergerakan Pemuda Umno Kedah hari ini membuat laporan polis berkaitan 20 akaun individu bernilai RM3 bilion, yang dikawal oleh Ketua Pambangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pemuda Umno Kedah, Badrol Hisham Hashim berkata, laporan polis itu dibuat bagi mendesak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat sumber wang yang begitu banyak dan ke mana hilangnya wang tersebut. "Ini satu kes yang sangat serius dan perlu diambil perhatian segera olehkerajaan dan perlu siasatan rapi," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan mesti dibuat bukan sahaja terhadap Anwar, sebaliknya 20 individu lain juga perlu disiasat.

"Dengan terbongkarnya isu ini, rakyat boleh lihat dan nilai sendiri siapa Anwar yang sebenar. Anwar juga perlu membuat penjelasan tentang isu ini supaya rakyat tahu apa yang telah beliau lakukan," katanya.

Selain itu, Badrol Hisham berkata beliau juga meminta supaya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendedahkan 20 individu yang turut terlibat dengan akaun tersebut. - Bernama

SINAR HARIAN