Followers

MAKLUMAT TERKINI TANAHAIR

Wednesday 11 December 2013

PARTI KOMUNIS MALAYA TEKAD MUSNAHKAN EKONOMI TANAH MELAYU




KEKEJAMAN Parti Komunis Malaya (PKM) amat ketara apabila mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengubah pendekatan dan melancarkan taktik keganasan bagi melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu.

PKM akan berusaha habis-habisan menerusi kempen keganasan dan tindakan sabotaj mereka dengan satu tujuan iaitu memusnahkan ekonomi negara sebanyak mungkin dan melumpuhkan sistem perhubungan yang sedia ada.

Sebulan selepas Pentadbiran Tentera British (BMA) mengisytiharkan darurat, pasukan Batalion Ketiga PKM terpaksa berundur dari Batu 11, Jalan Air Kuning, Kampar di Perak pada Julai 1948 akibat serangan pasukan keselamatan.

Ketua Unit Penggempur (Assault Unit) yang dikehendaki pihak berkuasa, Cheung Thian Thye atau lebih dikenali sebagai Chong Chor menjadikan pengunduran itu sebagai alasan untuk beliau menghadiri mesyuarat bersama Setiausaha Agung PKM Chin Peng.

Chong Chor mengetuai Unit Penggempur Kelima PKM di Perak dan kemudiannya, Keenam PKM di Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan. Pasukan komando khas polis VAT 69 menjadikan Chong Chor sebagai sasaran utama paling dikehendaki dalam misi pemburuan mereka.

Berdasarkan fail sulit, Chong Chor mengaku bahawa dalam mesyuarat yang diadakan bersama Chin Peng dan lima pegawai kanan PKM negeri Perak pada 15 Ogos 1948, mereka cuba mengkaji kelemahan pada pasukan keselamatan.

Sewaktu mengadakan mesyuarat itu di sebuah rumah setinggan, mereka diserang hendap pasukan keselamatan namun sempat melarikan diri ke Bidor, di kawasan pinggir hutan yang dikenali sebagai Tai Peng Pa.

Di lokasi baru itu, PKM meneruskan perbincangan mereka antara lain merancang memindahkan ibu pejabat pentadbiran pasukan PKM ke Cameron Highlands.

Selain itu Chong Chor turut diarahkan oleh Chin Peng supaya terus kekal di kawasan selatan Perak dan meneruskan usaha kempen dan kerja-kerja sabotaj bagi mewujudkan masalah kepada ekonomi dan sistem perhubungan di Tanah Melayu.

Chong Chor dipetik sebagai berkata, Selepas mesyuarat itu saya mengarahkan semua anggota Batalion Ketiga berpecah kepada kumpulan kecil dan melakukan kerja-kerja Min Yuen."

Min Yuen adalah kegiatan propaganda PKM melalui memberi maklumat dan mendapatkan bekalan makanan serta ubat-ubatan untuk komunis.

Antara misi yang dilakukan oleh gerakan ini adalah kempen keganasan terhadap golongan atas pagar dan kekejaman ke atas pemberi maklumat kepada pasukan keselamatan.

Kumpulan Min Yuen ini juga menyasarkan usaha melumpuhkan ekonomi negara melalui penyebaran khabar angin, sabotaj terhadap landasan kereta api, perhubungan telefon, jambatan dan apa sahaja kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

Mereka juga bergerak memusnahkan berekar-ekar kebun getah milik warga Eropah atau penduduk yang menjadi ejen kerajaan, begitu juga peralatan lombong-lombong bijih timah.

Antara bukti kekejaman PKM yang dilakukan oleh kumpulan pimpinan Chong Chor ialah menyerang sebuah lombong bijih timah dan membunuh pemiliknya warga Australia pada 12 Ogos 1948, seminggu selepas membunuh pemilik lombong warga Eropah di Chemor.

Aktiviti gerila PKM di Perak sahaja dikatakan telah mengakibatkan kematian 14 daripada 24 pengusaha lombong dan pemilik ladang Eropah dalam tempoh enam bulan.

PKM juga berusaha menggagalkan program pendaftaran penduduk yang dimulakan pada bulan September 1948. Mereka bimbang sistem ini akan menghalang operasi gerakan Min Yuen dalam kalangan penduduk selain menyerlahkan penyokong mereka.

(Dipetik dari sumber Portal akhbar Utusan Online di kolum Rencana pada 10 Disember 2013)

No comments:

Post a Comment