Umum mengetahui beberapa negeri telah
dilaporkan terjejas teruk ekoran bencana banjir yang melanda. Antara negeri
yang terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor malah ekoran
kenaikan air secara mendadak di beberapa tempat, beberapa jalan utama terpaksa
ditutup, bekalan elektrik terpaksa dimatikan dan semua mangsa yang terlibat
berpindah ke pusat pemindahan.
Namun di sebalik kesibukan itu, kelibat
ketua pembangkang, Anwar Ibrahim langsung tidak kelihatan di kawasan yang
terlibat dengan bencana. Sudahlah tidak menghulurkan sebarang bantuan,
setidak-tidaknya hadir bagi memberikan sokongan moral.
Tambahan pula antara kawasan yang terjejas
teruk ialah Kuantan, di mana majoriti pengundi di kawasan terbabit telah
memberikan sokongan kepada calon PKR sekali gus memberikan mandat bagi mewakili
mereka di dalam Parlimen.
Apabila disiasat, rupa-rupanya Anwar yang
pernah berangan ingin menjadi Perdana Menteri itu sedang enak bercuti bersama
keluarganya di London. Ia bukanlah merupakan satu fitnah atau sengaja
diada-adakan, tetapi dimaklumkan sendiri oleh Anwar melalui akaun media
sosialnya di Instagram.
Semalam, Anwar telah memuat-naik sekeping
gambar yang memaparkan dia dan anaknya Ihsan sedang berada di dalam sebuah
kereta api. Malah Anwar dengan bangganya mengatakan dia sedang dalam perjalanan
ke Washington DC. Menarik bukan!!!
Inikah ciri-ciri bakal perdana menteri
yang diinginkan oleh semua masyarakat? Ketika rakyat sedang dilanda musibah dia
begitu seronok bercuti di luar negara. Sedangkan sebelum ini, ada di kalangan
pemimpin pembangkang yang mendesak agar Perhimpunan Agung Umno dibatalkan, bagi
membantu mangsa banjir.
Namun apabila diteliti semula, ia bukanlah
satu perkara yang pelik, kerana ia adalah lumrah bagi pemimpin pakatan
pembangkang. Contohnya apabila negeri Selangor di landa ribut beberapa tahun
yang lalu, Menteri Besarnya, Abdul Khalid Ibrahim enggan turun padang bagi
meninjau keadaan mangsa ribut kerana merasakan ia satu perbuatan yang membuang
masa dan membazirkan wang.
"Saya ada wakil rakyat dan Exco yang
mengendalikan bantuan untuk mangsa dan saya sentiasa berhubung dengan mereka.
Jadi, tidak perlu saya turun padang kerana ia membazirkan masa saya.
"Jika saya datang melawat, saya
terpaksa membawa bersama 15 hingga 20 orang saya dan ini akan melibatkan kos
kewangan," katanya kepada pemberita ketika itu.
Menurutnya lagi, walaupun pakatan
pembangkang sering melaung-laungkan konsep negara berkebajikan, ia tidak
bermakna beliau perlu menunjukkan muka kepada rakyat ketika mereka berdepan
kesusahan seperti bencana alam.
Di dalam kejadian tersebut, dianggarkan
hampir 1,000 keluarga dari beberapa kampung seperti Kampung Sungai Udang serta
Kampung Sungai Bertek di Teluk Pulai dan Kampung Rantau Panjang di Kapar
menjadi mangsa ribut yang memusnahkan kediaman dan harta benda mereka.
Berbalik kepada isu banjir besar yang
sedang berlaku ketika ini, ketika puluhan ribu rakyat Kuantan terpaksa dihantar
ke pusat-pusat pemindahan, ahli Parlimennya, Fuziah Salleh langsung tidak
kelihatan.
Namun apabila ramai yang mula
mempersoalkan peranannya sebagai wakil rakyat, baru-barulah kelihatan beberapa
keping gambar yang dimuatkan di laman-laman media sosial, kononnya bagi
membuktikan kehadirannya membantu mangsa. Para pencacai pakatan pembangkang,
mungkin merasakan ianya sebagai cara untuk menangkis tuduhan masyarakat Kuantan
yang hairan dengan ‘kehilangan’ Fuziah.
Tetapi, bak kata pepatah, “bangkai
gajah, masakan dapat ditutup dengan sehelai daun pisang”. Kebanyakan
gambar-gambar yang dimuat naik lebih banyak memaparkan aksi Fuziah bergaya
ala ‘super model’ berbanding membantu mangsa banjir. Ini
kerana dia mungkin merasakan sebagai wakil rakyat, aktiviti bergambar dapat
meringankan beban mangsa yang terlibat.
Nampaknya benarlah seperti kata Khalid
Ibrahim, sesetengah ahli politik lebih suka ‘bergaya’ dengan
cara begini. Jelasnya, perbuatan turun padang tidak akan memberi sebarang
kesan terhadap moral mangsa ribut dan menganggap ia sebagai konsep yang tidak
boleh diterima sama sekali.
"Orang yang berada dalam kecemasan
bukan mahu sokongan moral, dia mahukan pertolongan. Namun, sesetengah ahli
politik suka 'bergaya' dengan cara begini tetapi saya bukan
orang seperti mereka," tegasnya.