Dewan Ulama Pas hari ini menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen
Puchong, Gobind Singh Deo yang menuding jari kepada hudud sebagai punca
kekalahan calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud di Parlimen Teluk Intan sebagai
satu penghinaan kepada perjuangan parti itu.
Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz
Mohamad menegaskan, dakwaan itu adalah tidak adil sama sekali serta tidak
menghormati dan menghargai sumbangan ahliahli Pas yang bertungkuslumus membantu
DAP pada pilihan raya kecil (PRK) tersebut.
"Memang mudah menuding jari kalau kalah namun DAP sudah
menang di Bukit Gelugor, kenapa tidak salahkan hudud? Oleh itu, kenyataan
Gobind ini adalah tidak adil, tidak hormati dan menghargai sumbangan ahliahli
Pas yang bertungkuslumus membantu di Teluk Intan.
"Tindakan ini menghina perjuangan Pas kerana hudud
adalah salah satu perjuangan kita. Dia (Gobind) boleh cakap ‘setuju untuk tidak
setuju’, tidak setuju tak mengapa tetapi jangan menentang (hudud).
"Ada juga tindakan mereka lakukan yang kita tidak setuju
macam pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), kita tidak setuju tapi tak
bising pun. Jadi janganlah begini," katanya ketika dihubungi Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Gobind yang dilaporkan berkata,
pendirian Pas yang mahu melaksanakan hudud di Kelantan menyebabkan berlaku
protes secara senyap terhadap pembangkang sehingga membawa kepada kekalahan
Dyana Sofya.
Menurut Gobind, kebanyakan pengundi di Teluk Intan tidak
menyokong hudud kerana mereka berpandangan Malaysia merupakan sebuah negara
sekular.
Mengulas lanjut, Mahfodz yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor
memberitahu, kekalahan DAP tersebut boleh disebabkan oleh pelbagai faktor lain
termasuk imej Dyana Sofya yang muda dan bukan orang tempatan berbanding
lawannya, Datuk Mah Siew Keong yang berpengalaman, seorang anak tempatan dan
dijanjikan jawatan menteri.
"Selain itu faktor protes senyap, penyusutan pengundi
dari 80 peratus kepada lebih 60 peratus dan sebagainya. Namun, saya tidak boleh
menerima alasan bahawa kekalahan di Teluk Intan disebabkan hudud,"
katanya.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan
berkata, Gobind tidak wajar mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana ia
kelihatan angkuh dan tidak menerima hakikat selain tindakan tersebut turut
melukakan perasaan pimpinan dan ahli Pas yang bekerja keras membantu jentera
pembangkang yang diwakili oleh DAP di Teluk Intan.
"Pas berusaha membuktikan semangat setia kawan lalu
menghantar pimpinan dan petugas parti membantu dengan segala pengorbanan
tenaga, masa dan wang ringgit termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang sendiri turut turun membantu.
"Kami dari Pahang juga memperuntukkan sejumlah wang
yang agak besar bagi menghantar tenaga secara syif bertugas di Teluk Intan.
Saya yakin negeri lain juga memberikan komitmen yang tinggi untuk memenangkan
pembangkang yang diwakili DAP di Teluk Intan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment