Wednesday, 2 January 2013

Cukup-cukuplah Nik Aziz, Hadi... (Utusan)

MASYARAKAT Melayu hari ini dilihat memang banyak berubahnya berbanding zaman tradisi dan sebelum merdeka. Apatah lagi dengan facebook, twitter, whatsApp...dan macam-macam lagi sehinggakan penulis yang menganjak ke pertengahan 40-an ini pun agak 'kebingungan'.

Itulah, kadang-kala kita rakyat Malaysia 'kebingungan' juga dengan gelagat segelintir pemimpin parti politik yang asal ado, 'belasah aje' ikut suka mereka sahaja.

Dan lebih dahsyat lagi, mereka sama ada lupa (ini pasti tidak boleh diterima dek akal) atau sengaja enggan mengaku yang kesejahteraan, keamanan malah kemajuan negara yang turut sama dinikmati oleh mereka adalah hasil kepimpinan dari bangsa Melayu sendiri. Kalau bangsa Melayu tidak boleh dibanggakan, manakan mungkin negara kita mampu mencapai kecemerlangan hinggakan menjadi antara negara contoh di dunia.

Kalau kita berkahwin pada 1990 dan dikurniakan rezeki 'bunting pelamin', anak kita sudah besar panjang dah. Kalau seorang individu menguasai sebuah pemerintahan kerajaan negeri pada tahun sama, sudah 22 tahun lah dia berada di pejabatnya. Itu sudah tempoh yang cukup lama itu untuk membawa perubahan kepada sebuah negeri.

Tetapi ternyata si polan ini gagal. Kalau 22 tahun dulu air paipnya keruh, sekarang air paipnya tetap keruh. Kalau 22 tahun dulu kadar pengangguran tinggi, sekarang pun kadar penganggurannya tetap tinggi. Kalau 22 tahun dulu negeri itu mundur, sekarang ternyata ia tetap mundur. Malah semakin jauh ditinggalkan ke belakang. Itulah kalau masih ada persepsi tidak mahu mengaku kelemahan diri atas alasan 'kami kaya dengan tanah...anda di negeri lain...ado.'

Ramai menganggap si polan ini hanyalah jaguh mengumpul khalayak. Tetapi bukan dalam memajukan taraf hidup mereka. Namun, ramai juga enggan memperakukan suara hati diri sendiri, dek 'takut' tidak ke 'syurga' olahan parti berkenaan. Senjata si polan ini cuma ketaksuban sesetengah pengikutnya yang membabi-buta.

Di kala Petunjuk Prestasi Utama (KPI) menjadi teras kepimpinan era sekarang - khususnya empat tahun kebelakangan ini - indeks prestasi si polan tadi tidaklah terkandung sebarang angka mengagumkan.

Menggunakan semaksimumnya agama demi untuk survival politik merupakan perkara yang cukup menjengkelkan!. Tetapi inilah agaknya yang dibanggakan oleh 'si polan'. Sepatutnya agama dijadikan panduan kehidupan, bukan aset untuk mengumpul pengikut dan pengaruh.

Dan suatu ketika kerana sudah lebih 20 tahun memerintah tak berbuat apa pun, 'alih- alih' dek demam pilihan raya umum yang kian hampir, sudah menggelabah tak bertempat. Lantas bergendanglah dia ke merata negeri. Mencanang mahu dibina satu lebuh raya yang di'promosikan' sebagai 'lebuh raya rakyat'. Kosnya bukan sedikit, RM1.8 bilion menghubungkan Lebuh Raya Kuala Krai- Kota Bharu (anggaran kos ketika ini). Dinamakan "lebuh raya rakyat" dengan harapan rancangan itu "dekat dengan jiwa" rakyat, maka lantas ditadahkan tangan meminta sumbangan rakyat.

Wah! memang hebat rancangan bina lebuh raya itu. Ada laluan untuk binatang buas lagi. Tetapi apa sudah jadi dengan sebuah jambatan yang penulis fahamkan dikenali jambatan Palekbang-Kampung Cina yang dijanjikan pada 1996. Ia tak terusik lagi. Kalau tak percaya, pergilah kita tinjau batu asas untuk membina jambatan Palekbang- Kampung Cina. Batu asasnya masih ada di situ. Tapi tulisannya yang tertera nama projek, sudah tak ada lagi.

Diam tak diam, bukan parti itu bina jambatan sebaliknya parti saingannya pula yang membina jambatan di sebuah kampung (kalau tak silap penulis bernama Kampung Sireh) untuk mengurangkan kesesakan bandar Kota Baru.Itu baru soal pembangunan untuk diperleceh parti berkenaan.

Bab agama lagi dahsyat. Tak ada langsung rasa simpati dengan keluarga yang berpecah- belah hanya kerana hasutan politik dan sebuah 'amanat'. Tidakkah si polan tadi berasa berdosa kerana sanggup bersama mereka yang memusuhi Islam. Dan hanya kerana dendam kesumat menafikan sungguh-sungguh parti pesaing yang terbukti berjaya memajukan bukan sahaja umatnya tetapi kaum-kaum lain.

Dan menyebabkan orang Melayu terluka dan tersiat hati mereka apabila sanggup pula melakukan penghinaan terhadap bangsanya sendiri. Dan tidak berbangga dengan Melayu. Dan apabila 'disentap' parti sekutu', semua maklum dan rasanya hampir semua orang tahu apa jawapannya setiap kali 'dipukul' oleh 'penyerangnya' soal hudud yang hendak sangat dipraktiskan. Kita tidak tahu sampai bila titik noktahnya si polan ini mahu membohongi diri sendiri, umat Melayu dan kaum-kaum lain.

Berterus-teranglah.Kepada pengikut sendiri. Beritahulah kebenaran '... ini adalah modal untuk parti dapat undi, bukan kami betul-betul nak laksanakan pun". Kalau penyokong parti pesaing tanya, ini alasan dia - perlembagaan tak benarkan, kalau parti sekutu tanya ini alasan dia - 'si dia' tak faham. Kalau orang parti sekutu yang satu lagi tanya, ini jawapannya - 'tak nak pemimpin dia pun kena'.

Kalau tidak mahu tarik 'amanat' yang memusnahkan persaudaraan sesama Islam itu, tak mengapalah. Tapi...tapi....tapi tak perlulah beri bermacam alasan. Cukup-cukuplah Nik Aziz. Cukup-cukuplah Hadi.

No comments:

Post a Comment