Tuesday, 8 January 2013

Barang Kemas RM13 Juta: Rafizi Atau Deepak Yang Menipu?

Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR sekali lagi menimbulkan kontroversi apabila mendesak Datin Seri Rosmah Mansor menjawab dakwaan bahawa Deepak Jaishikin telah membayar sejumlah RM13 juta untuk membeli 19 jenis barang kemas khas untuk beliau, dari dua firma di Hong Kong kononnya untuk melicinkan satu urusniaga hartanah.

Dakwaan Rafizi ini disokong oleh dokumen pembelian seperti invois dan email dan disebar secara meluas di laman-laman web pembangkang.  

Bagaimanapun, isu yang baru sahaja mula dijerang dan belum sempat hangat, menjadi sejuk tiba-tiba apabila Deepak muncul dalam youtube yang membuatkan Rafizi dan bosnya, Anwar Ibrahim pula yang kepanasan.   Rakaman percakapan Deepak tersebut dilihat bagaikan satu lagi bom atom yang menimpa kepala Anwar Ibrahim kerana ia mengingatkan kita kepada skrip lama, iaitu scorpene.

Sebelum ini, Raja Petra Kamaruddin, blogger upahan pembangkang yang separa gila perasan diri sebagai seorang yang berintegriti, telah pun mendedahkan bagaimana beliau diarahkan oleh pihak tertentu untuk memburukkan Dato’ Seri Najib dengan mereka cerita penglibatan beliau dalam rasuah dan pembunuhan yang berkait dengan urusniaga kapal selam scorpene.   Pendedahan ini konsisten dengan kronologi akuan bersumpah oleh Bala yang mengambil U-turn sebelum lari mengikut jejak blogger tersebut. 

Fitnah scorpene ini kemudiannya diambil alih oleh SUARAM, sebelum mereka semuanya kantoi terduduk dan terbarai secara besar-besaran apabila pihak Perancis sendiri tampil memberi kenyataan yang menyangkal semua dakwaan mereka. 

Oleh itu, kita melihat pendedahan Deepak ini sebagai tepat dengan jangkaan awal kita iaitu beliau hanyalah satu lagi usaha terdesak pembangkang untuk menyambung apa yang telah gagal dilakukan oleh SUARAM.  Apa yang diperkatakan Deepak mengenai hubungannya dengan Anwar Ibrahim adalah konsisten dengan modus operandi pembangkang dalam isu scorpene iaitu, diarahkan membalas budi dengan cara memburukkan kerajaan bagi pihak pembangkang. 

Sekali gus, pendedahan Deepak telah membantu kita melengkapkan gambaran mengenai strategi Anwar Ibrahim untuk berkuasa.  Namun timbul juga persoalan mengenai kredibiliti Deepak dalam kisah barang kemas yang dibangkitkan oleh Rafizi. 

Setakat ini, isu barang kemas ini begitu mudah ia dipatahkan oleh blog-blog pro-kerajaan kerana ia langsung tidak membuktikan penglibatan Datin Seri Rosmah di mana-mana.  Malah, invois tersebut pula begitu mudah ditiru manakala email boleh direka pada bila-bila masa.   Jika ada apa-apa yang boleh dibuktikan dari dokumen yang dicanangkan Rafizi hanyalah bahawa Syarikat Carpet Plus telah membuat bayaran kepada syarikat Dehres dan Firestone atas pembelian barang kemas, itu saja. 

Pemilik syarikat dan kepada siapa barang kemas tersebut diberikan tidak dapat dibuktikan.  Ia mungkin untuk dijual kembali, mungkin untuk hadiah perkahwinan seorang taikun besar, mungkin juga untuk Rafizi sendiri, siapa tahu?  

Dengan ‘serangan’ yang begitu lemah, sepatutnya Anwar Ibrahim pecat sahaja si Rafizi.  Ini kerana sudah amat jelas sekali bahawa jawatan Pengarah Strategi yang dipegang oleh Rafizi, adalah tidak layak baginya. 

Ini bukan kali pertama Rafizi kantoi, sebelum ini beliau telah kantoi dalam percubaan menipu seolah-olah ICAC Hong Kong akan menyiasat Musa Aman, atas kerjasama pihak pembangkang.  (Modus Operandinya adalah lebih kurang sama dengan kes pembelian kapal selam scorpene di mana SUARAM menipu kononnya mahkamah Perancis sedang menyiasat sedangkan kes tersebut langsung tidak wujud).

Rafizi juga pernah kantoi dalam isu NFC setelah melanggar 21 undang-undang BAFIA apabila mendapat akses kepada dokumen-dokumen sulit bank dengan cara mengelirukan pegawai bank. 

Tidak cukup dengan itu, Rafizi juga terkantoi menipu mempunyai bukti mengenai kononnya LRT Ampang tidak selamat dan diberi kepada syarikat yang tidak berwibawa.   Begitu juga apabila Rafizi bergandingan dengan Nurul Izzah membawa isu kononnya projek KLIA2 Air Traffic Control (ATC) sistem kepada syarikat yang tidak berwibawa sedangkan syarikat tersebut telah 17 tahun berkhidmat di KLIA tanpa sebarang masalah.  

Memandangkan rekod Rafizi yang begitu banyak sekali menipu dan terkantoi, manakala Deepak pula merupakan ahli perniagaan yang berjaya, maka persoalan mengenai siapa yang menipu atau siapa yang cuba menipu siapa rasanya tidak sukar untuk dijawab. 

Apa yang pasti, pendedahan Deepak kelihatannya ‘masuk akal’ atau ‘muat elok’ jika kita menjejak kembali jalan yang ‘dilalui’ oleh isu scorpene, terus kepada SUARAM, Bala dan Raja Petra Kamaruddin di mana akhirnya ia tetap membawa kita kepada satu nama, iaitu Anwar Ibrahim. 

No comments:

Post a Comment