Tuesday, 11 December 2012

2 Pengganas yang diTangkap di Lubnan Penyokong PR

Kita bertuah berada di bumi Malaysia yang terhindar dari segala keganasan dan bencana alam yang besar.  Walaupun terdapat beberapa percubaan untuk menghuru-harakan negara oleh beberapa pihak, namun, sehingga kini segala percubaan tersebut berjaya dipatahkan atau dibendung oleh pihak berkuasa. 

Untuk itu, kita wajar menghargai kecekapan pihak keselamatan negeri, negara dan juga kepimpinan kerajaan.   Ini adalah bukti bahawa segala apa tohmahan yang cuba menggambarkan bahawa pihak keselamatan negara ini serta kepimpinan kerajaan adalah korup dan tidak cekap adalah tidak benar sama sekali. 

Adalah mustahil bagi sebuah negara yang anggota keselamatan dan kepimpinan kerajaannya begitu korup dan tidak cekap mampu memastikan keamanan yang berkekalan di negara ini. 

Namun, itu tidak bermakna yang mentaliti ‘gemar kepada keganasan’ tidak wujud di kalangan rakyat Malaysia.  Mungkin kerana tidak mampu mengatasi kecekapan pihak berkuasa Malaysia maka pengganas Malaysia memilih untuk melakukan keganasan di negara lain, antaranya, Nordin Mat Top yang berasal dari Johor, telah ditembak mati di Indonesia kerana terlibat dalam pengeboman di negara itu.  

Selain itu, penangkapan dua warga Malaysia kerana dipercayai menjadi pengebom berani mati di Lubnan baru-baru ini juga menjadi satu lagi bukti akan kewujudan mentaliti sebegini di kalangan kita.

Siasatan mendapati dua lelaki Malaysia itu direkrut ke dalam Al-Qaeda oleh seorang lagi rakyat Malaysia sebelum dibawa ke Yemen di mana mereka menemui anggota lain kumpulan itu.  Kedua-dua suspek itu cuba memasuki Syria menerusi Turki atas misi jihad bagi melakukan serangan berani mati.  Mereka dikatakan bercadang menghubungi seorang individu di Lubnan untuk menyelaras komplot serangan tersebut.

Mentaliti yang ‘cintakan keganasan’ ini sering menggunakan nama penyamaran iaitu ‘jihad’ bagi menghalalkan kemusnahan yang mereka bakal lakukan. 

Sejarah mengenai keganasan di Malaysia merekodkan bagaimana parti PAS terlibat dalam menerapkan mentaliti ini sehingga membawa kepada tragedi berdarah Memali dan juga Sauk.   Semuanya atas nama ‘jihad’. Ia bermula dari Amanat Haji Hadi yang menyatakan bahawa UMNO itu kafir kerana bekerjasama dengan bukan Islam dan wajib ditentang.

Sehingga kini, masih ada di kalangan PAS yang menggelar mereka yang terbunuh di Memali sebagai para ‘syuhada’.  Mereka percaya, yang mereka wajib membunuh, menentang dan menjatuhkan kerajaan Islam yang ada di Malaysia atas sebab ‘tidak cukup Islam’ atau ‘kafir’ dan perlu digantikan dengan pemimpin mereka yang ‘benar-benar Islam’.  Mereka benar-benar yakin bahawa membunuh pihak berkuasa yang sebahagian besarnya juga beragama Islam, adalah satu jihad dan jika terbunuh ketika berjihad itu, maka kematian mereka adalah syahid. 

Walaupun PAS kini sudah semakin terbuka, hatta liberal juga mungkin, tetapi mentaliti ektremis ganas yang diterapkan oleh mereka suatu ketika dulu terus kekal di dalam beberapa golongan masyarakat.  Hari ini, golongan ini memilih untuk menyertai organisasi asing seperti JI, Al-Qaeda dan berbagai-bagai lagi, yang menaja keganasan atas berbagai alasan dan sebab.  Membela umat Islam Palestin, adalah antara alasan paling ‘popular’ di kalangan mereka.  

Mereka enggan memilih untuk berjihad dengan cara aman sepertimana yang dilakukan oleh Aman Malaysia atau Mercy Malaysia yang sanggup bergadai nyawa merempuh bahaya serangan dan halangan pengganas Israel untuk menghantar bantuan ke Palestin.  Tetapi, mereka memilih untuk membunuh atau membalas keganasan dengan keganasan juga, dengan harapan untuk mati syahid.  Lebih buruk apabila mereka bukannya bertindak ganas di zon bahaya yang terlibat, tetapi di tempat awam yang selamat dengan misi ‘bom berani mati’.

Memilih keganasan dan bukan keamanan untuk berjuang adalah sinonim bagi pihak penentang kerajaan atau pemberontak.   Telah menjadi satu ‘hukum tidak bertulis’ bahawa golongan bermentaliti ganas tidak mungkin menyokong pemerintah dan sering menganggap orang lain salah dan jahil serta hanya mereka sajalah yang benar dan bijak. 

Kalaupun mereka menyokong kerajaan, kerajaan itu pastinya kerajaan negara lain dan bukannya kerajaan yang memerintah negara mereka.  Dan ini akan dijadikan alasan untuk mengganas.   Pendek kata, mereka tidak pernah menghargai apa yang ada di depan mata dan sering mencari alasan untuk memberontak.

Seperti juga dua warga Malaysia yang ditangkap di Lubnan tersebut, sumber awal yang didapati dari Lubnan menyatakan bahawa kecenderungan politik mereka ialah membenci kerajaan Malaysia dan menyanjung pihak pembangkang. 

Tidak perlu diperincikan parti mana dari pembangkang yang mereka sanjung kerana pembangkang di Malaysia kini telah terangkum menjadi satu, iaitu Pakatan Rakyat.   Justeru, cukup untuk kita hadamkan maklumat ini iaitu dua warga kita yang disyaki pengganas itu adalah penyokong Pakatan Rakyat. 

Maka terbuktilah sudah bahawa politik benci keterlaluan yang dimainkan oleh Pakatan Rakyat akhirnya berjaya melahirkan pengganas.

No comments:

Post a Comment