Tuesday, 19 June 2012

Seminar Fiqh: Sah Malaysia Bukan Ulama Sekular

PADA sesetengah orang terutama yang berpakaian kerajaan tapi berfahaman pembangkang, menerima pandangan seorang alim ulama lagi professional bahawa Malaysia bukan negara sekular seperti yang mahu dipercayai oleh semua penyokong pembangkang yang berpegang kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1988 yang menyebutkan Malaysia adalah sebuah negara secular.

Inilah kesimpulan penulis melihat dari respon-respon segelintir peserta selepas pembentangan kertas kerja terakhir seminar oleh Dr. Muhammad Uthman El Muhammady semalam.

Pada penulis sendiri yang tidak berganjak mendengar pembentangan kertas kerja Dr. Uthman, berpendapat pandangannya itu adalah berasaskan kepada buku-buku dan pandangan para ilmuan Islam dan barat mengenai sekularisme ini, bukan dicipta sendiri oleh Dr. Uthman.  Sudah tentu perkataan sekular ini tidak wujud di dalam al-Quran kerana ia adalah satu perkataan yang diperkenalkan barat untuk memudahkan penuturan bagi menggambarkan sistem pemerintahan yang membawa kepada pemisahan agama dan urusan kerajaan.

Lagipun seperti yang dijelaskan Dr. Uthman, Ketua Hakim Negara pada ketika keputusan Mahkamah tersebut dibuat, Tun Salleh Abas (yang juga mantan ADUN dan Exco kerajaan PAS Terengganu) tidak menyatakan Malaysia sebuah negara sekular, sebaliknya menyebutkan ada undang-undang negara ini yang  bersifat sekular.

Satu-satunya yang mengatakan Tun Salleh menyebutkan negara ini sekular adalah Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh.  Sudah tentu Karpal mahu percaya dengan perkara tersebut kerana DAP memang menanti kenyataan seperti ini untuk menyokong tujuan dan matlamat agung penubuhan DAP – menubuhkan republik Malaysia.

Kepada peminat pembangkang yang gemar menggambarkan Malaysia ini sebagai negara sekular, pandangan Karpal itu adalah satu-satunya kenyataan yang tinggal untuk menunjukkan Malaysia ini sekular, setelah hampir semua perkara yang tertulis dalam perlembagaan kita tidak langsung menjurus ke arah itu.

Tidak mungkin sama sekali sebuah negara sekular meletakkan Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaannya, malah perkataan sekular itu sendiri tidak wujud dalam perlembagaan negara kita sejak dulu hingga sekarang, tak tahulah kalau Anwar dah mengambil alih nanti.

Keseluruhannya seminar ini bukan sahaja menafikan pandangan yang mengatakan negara ini adalah negara sekular, malah seminar ini turut mengesahkan bahawa cara negara ini diurus adalah bertepatan dengan Islam dan ketetapan yang dibuat oleh ahli-ahli Feqah.

Dari sistem pemerintahan beraja, berkerajaan dan pentadbiran semasa negara, semuanya adalah menepati kehendak Islam, walaupun masih banyak yang tidak lengkap tapi masih lagi tidak salah dari segi syariatnya.

Kenyataan ini sudah tentu tidak sahaja mengejutkan penyokong pembangkang malah penyokong kerajaan sendiri kerana dikeluarkan oleh profesional dan ilmuan Islam yang terkenal di peringkat antarabangsa.  Bagi penyokong kerajaan, kita memang yakin sistem berkerajaan kita menepati syariat Islam berdasarkan pandangan ulama tempatan, tak pulak kita sangka, ilmuan dan ulama terkenal dunia Islam turut berkongsi pandangan yang sama.

Semua ini sepatutnya menyakinkan rakyat Malaysia bahawa Barisan Nasional adalah jawapan terbaik kepada kerajaan mana satu yang sepatutnya memimpin setelah Pilihanraya Umum ke 13 berakhir.  Sistem sekarang bukan saja mendaulatkan Islam tapi juga memastikan hak bukan Islam tidak terbiar.

Kalau ada yang lebih baik dari ini, penulis suka nak mendengarnya.

No comments:

Post a Comment