Thursday, 10 May 2012

Arab Saudi kecewa demonstrasi

pix_gal0
Wisma Putra terima nota diplomatik kecam perhimpunan di Makkah

KUALA LUMPUR: Arab Saudi menghantar nota diplomatik kepada Wisma Putra, melahirkan rasa kecewa dengan tindakan rakyat Malaysia mengadakan perhimpunan haram di Makkah dan Madinah, 28 April lalu.
Dalam nota itu, Arab Saudi meminta kerajaan memastikan dan melarang rakyat Malaysia tidak lagi menyertai atau menganjurkan apa-apa perhimpunan di negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata nota bertarikh 3 Mei lalu yang dihantar melalui kedutaannya di sini, turut meminta Malaysia mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan peristiwa sedemikian tidak berulang.

Anifah berkata, makluman yang diterimanya nyata menimbulkan kebimbangan kepada kerajaan berhubung persepsi Arab Saudi terhadap Malaysia.

“Selama ini Arab Saudi menyifatkan rakyat Malaysia sebagai yang terbaik dalam mengerjakan ibadat haji setiap tahun, jadi dengan adanya tindakan (demonstrasi) ini, ia mencemarkan imej negara kita.

“Kita bimbang jika tindakan sedemikian tidak dikawal, kuota haji yang dikeluarkan Arab Saudi kepada Malaysia akan dikurangkan, malah tidak mustahil tidak diberi langsung,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Pada 28 April lalu, sempena perhimpunan BERSIH 3.0, sekumpulan rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di Arab Saudi dikatakan turut mengadakan perhimpunan di Makkah dan Madinah dengan memakai baju kuning serta memegang kain rentang ‘duduk bantah’.

Tindakan itu mendatangkan rasa kurang senang kerajaan Arab Saudi yang tidak mahu tanah suci dijadikan medan untuk perkara lain selain beribadat.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kerajaan Arab Saudi amat sensitif terhadap sebarang bentuk demonstrasi, terutama selepas Revolusi Arab pada 2010 yang memberi kesan besar terhadap mereka.

“Mereka menekankan saban tahun betapa pentingnya umat Islam dari seluruh dunia supaya tidak membuat sebarang program lain selain haji dan umrah di tanah suci.

“Setiap tahun, mereka tidak pernah lekang memuji kita kerana jemaah kita patuh kepada peraturan ditetapkan,” katanya selepas menyerahkan tiket penerbangan dan sumbangan kepada dua peserta Umrah Seringgit Sejuta Nilai (USSI) di sini, semalam.

Berhubung dakwaan pembangkang bahawa keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan perhimpunan haram seperti BERSIH 3.0 bersifat politik, Jamil Khir berkata, hukum agama tidak boleh dilihat mengikut kehendak masing-masing kerana ia dibuat menggunakan pendekatan ilmu dan kesepakatan.

“Majlis Fatwa bersidang dengan penuh kebebasan dan tuduhan (pembangkang) itu merendahkan martabat Majlis yang mana jawatankuasanya dipilih Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja,” katanya.
SUMBER

No comments:

Post a Comment