Followers

MAKLUMAT TERKINI TANAHAIR

Tuesday 19 February 2013

Lelaki diburu tumpas

Seorang penjenayah paling dikehendaki polis yang dikaitkan sebagai ‘dalang’ sindiket samun kereta mewah dan kes bunuh, akhirnya mati selepas ditembak di dada oleh anggota polis di Sungai Wangi, Sitiawan, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, suspek, 25, dari Taman Sungai Wangi, Ayer Tawar itu terlebih dulu bertindak agresif dengan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.


Timbalan Ketua Polis negeri Datuk A Paramasiwam berkata, suspek adalah saki- baki kumpulan sindiket samun kereta mewah yang amat dikehendaki polis sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri sedang melakukan rondaan cegah jenayah di daerah Manjung sebelum terserempak sebuah kereta model Naza Citra berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan dipandu suspek.


“Bagaimanapun, sebaik semakan nombor pendaftaran dibuat, polis mendapati kereta dipandu suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu sebelum polis mengarahkannya untuk berhenti.


“Suspek enggan memberhentikan kenderaan dan memecut dari arah Kampung Baru menghala ke Sungai Wangi, Ayer Tawar sebelum terbabas,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian keluar daripada kenderaan dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis yang mengejarnya.


“Anggota kami terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri sebelum suspek berjaya ditembak,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek berjaya menemui sepucuk pistol model Revolver 38 Smith & Wasson dan tiga butir peluru, sebilah parang panjang, satu peket kecil lut sinar mengandungi syabu dan satu beg silang.


Paramasiwam berkata, siasatan awal mendapati, kereta dipandu suspek adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Kuala Lumpur pada Mei tahun lalu selain menggunakan nombor pendaftaran kenderaan milik Proton Waja.


Menurutnya, suspek juga dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan seorang mekanik yang ditemui mati dengan kesan tembakan di Taman Sejati, Manjung pada 10 November tahun lalu.



Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

No comments:

Post a Comment