DUIT RM100 mungkin tiada apa nilainya sangat; tapi kepada
yang hidup susah, RM100 walaupun nilainya tidak sebesar mana, ia boleh menjadi
‘penyambung hidup’. Semalam, cucu saya sudah menerima bantuan persekolahan
sebanyak RM100. Mereka girang membawa pulang duit itu. Bagi mereka yang masih
kecil ini, RM100 sudah cukup besar.
KALI ini sudah masuk tahun keempat, bantuan RM100 itu
diberikan. Tujuan utama bantuan RM100 ini adalah untuk meringankan beban ibu
bapa dalam membuat persediaan anak ke sekolah pada awal tahun. Tapi masih ramai
yang memperlekehkan dengan mengatakan apa sangatlah yang dapat dibuat dengan
duit RM100 itu? “RM100 hendak beli apa? Tak kasi pun tak apalah,’’ kata mereka.
Tau-tau sebenarnya dialah orangnya yang dalam diam akan beratur paling depan
sekali mengambil wang berkenaan.
BUKAN boleh percaya sangat cakap-cakap orang yang banyak
‘bunyi’ ini. Selalunya merekalah yang lebih. Hidup ini bukan sekadar untuk diri
sendiri. Bukan semua orang hidup bernasib baik. Bantuan ini amat bermakna
kepada ibu bapa yang berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi yang mempunyai
ramai anak yang bersekolah.
SUSAH bukan hanya terhad kepada kemiskinan hidup, tetapi
juga kepada yang punya banyak tanggungan lain dengan pendapatan yang sedikit.
Banyak cerita sedih yang kita tidak tahu. sebab kita hidup penuh dengan
bernasib baik. Ada yang gunakan duit itu untuk membeli beras, kerana sudah
berhabis duit untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anak sampai makan pun terpaksa
dicatu.
KITA akan cakap pemberian RM100 itu sudah disalahguna.
Tetapi itulah kehidupan; masing-masing berbeza. Ada yang kita nampak senang,
tidak semestinya hidupnya senang. Dan yang kita nampak susah itu, selalunya
merekalah yang ringan membantu. Adalah lebih mulia, jika merasakan duit RM100
tersebut tidak memberi sebarang manfaat atau makna untuk anak-anak sendiri,
lebih baik ia disedekahkan kepada mereka yang memerlukan.
TAK PAYAH BUAT DOSA ;
PAHALA PUN DAPAT!
PAHALA PUN DAPAT!