PAS nampaknya terus memainkan isu wang ehsan dalam
pilihanraya kecil DUN Pengkalan Kubor, Penasihat Jentera Operasi PAS PRK
Pengkalan Kubor, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa penyelesaian sementara antara
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan negeri sebagai menghina mahkamah.
Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, penyelesaian sementara
pembahagian 50-50 Jabatan Pembangunan Persekutan (JPP) dan Majlis Agama
Islam Kelantan (MAIK) pada nisbah 50:50 menghina mahkamah.
Beliau mempersoalkan bagaimana kerajaan Persekutuan boleh
mengatasi mahkamah sedangkan sehingga kini mahkamah belum membuat sebarang
keputusan.
“Tidak boleh, kes tuntutan ini masih dalam mahkamah.
Bolehkah kerajaan pusat mengatasi mahkamah? Itu isunya.
“Mahkamah belum putuskan lagi, soal tiga batu nautika itu
pun belum diputuskan mahkamah. Saya salah seorang peguam yang hadir dalam kes
royalti ini. Ini satu penghinaan kepada mahkamah,” katanya dalam satu sidang
media harian PAS di pengkalan Kubor Isnin.
Turut serta dalam sidang media itu Naib Presiden PAS Datuk
Tuan Ibrahim Tuan Man.
Kerajaan Persekutuan sebelum ini memutuskan mulai tahun
2015, Program Wang Ehsan yang sebelum ini dilaksanakan oleh JPP Kelantan turut
dilaksanakan oleh MAIK pada nisbah 50:50 tertakluk kepada siling RM25 juta
setiap agensi.
Ia merupakan satu langkah interim sehingga penyelesaian yang komprehensif
dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan setelah kes tuntutan kerajaan Kelantan
diputuskan oleh mahkamah kelak.
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata wang ehsan tersebut tetap
diterima walaupun kes tuntutan royalti masih berjalan di mahkamah.
“Persoalan 50 peratus tidak timbul walaupun diberi dan
mungkin diterima MAIK tetapi tuntutan royalti tetap dan perkara ini masih dalam
proses mahkamah.
“Kalau hendak bagi boleh tetapi ini bukan penyelesaian
tuntutan dari kerajaan Kelantan terhadap Petronas dan kerajaan Pusat,” katanya.